Usaha-usaha Pihak Sekolah Untuk Menggalakkan Amalan Kitar Semula


Program Kitar Semula bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang pendidikan alam sekitar pada peringkat awal, iaitu seawal sekolah rendah hingga ke peringkat menengah. Program ini sekali gus mendatangkan impak positif bukan hanya di sekolah, malahan ke peringkat daerah, negeri mahupun negara. Usaha ini turut dilihat amat penting bagi mewujudkan sekolah sebagai institusi yang ceria, bersih dan kondusif sekali gus memberikan suasana persekitaran yang selesa kepada warga sekolah. 

(Sumber : Berita Harian Online, 19 September 2018) 


Petikan di atas menunjukkan pihak sekolah memikul tanggungjawab untuk memberi kesedaran dan menggalakkan murid-murid mengamalkan kitar semula. Apakah usaha-usaha menggalakkan amalan kitar semula?


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat. Namun, pencemaran alam sekitar masih menjadi isu yang membimbangkan, terutamanya apabila generasi muda kurang peka terhadap tanggungjawab mereka dalam menjaga bumi ini. Berdasarkan petikan di atas, usaha murni inisiatif seperti Program Kitar Semula di sekolah dilihat sebagai langkah penting dalam memberikan pendedahan tentang pendidikan alam sekitar kepada pelajar. Program ini bukan sahaja mendatangkan impak positif kepada sekolah, malah turut menyumbang kepada pembentukan suasana persekitaran yang selesa dan ceria. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah usaha-usaha yang boleh diambil oleh pihak sekolah untuk menggalakkan amalan kitar semula di kalangan pelajar?


         Berdasarkan petikan di atas, salah satu usaha murni inisiatif yang boleh diambil oleh pihak sekolah untuk menggalakkan amalan kitar semula ialah dengan mengadakan program pertukaran barang kitar semula. Program ini bukan sahaja mendatangkan impak positif kepada alam sekitar, malah turut menawarkan ganjaran atau hadiah untuk murid-murid yang terlibat. Melalui program ini, murid-murid akan lebih terdorong untuk mengumpul dan menukar barang kitar semula, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Pertukaran barang kitar semula ini juga dapat menjadikan sekolah sebagai institusi yang ceria dan mewujudkan suasana persekitaran yang selesa. Tegasnya, program sebegini mampu memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan murid terhadap alam sekitar.


         Seterusnya, penyediaan tong kitar semula yang berbeza warna dan label di kawasan sekolah merupakan satu langkah proaktif dalam menggalakkan amalan kitar semula. Hal ini dikatakan demikian kerana tong kitar semula yang berbeza warna memudahkan pengasingan sisa, sekali gus mendatangkan impak positif terhadap kesedaran murid-murid mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Contohnya, tong berwarna biru untuk kertas, hijau untuk kaca, dan kuning untuk plastik. Dengan adanya sistem pengasingan yang jelas, murid-murid dapat belajar tentang kepentingan kitar semula dalam suasana persekitaran yang selesa dan teratur. Tuntasnya, usaha ini bukan sahaja memupuk kesedaran tetapi juga menjadikan sekolah sebagai institusi yang ceria dan mesra alam.


         Selanjutnya, menganjurkan pertandingan kreatif menggunakan bahan kitar semula merupakan satu program usaha murni inisiatif yang dapat mendatangkan impak positif kepada murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti, tetapi juga memberi pendedahan tentang pendidikan alam sekitar. Contohnya, murid-murid boleh menghasilkan karya seni atau projek inovatif dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti botol plastik dan kertas lama. Dengan cara ini, sekolah sebagai institusi yang ceria dapat mewujudkan suasana persekitaran yang selesa dan menyemai kesedaran tentang kepentingan kitar semula dalam kalangan murid. Tuntasnya, pertandingan ini mampu memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid.


         Intihanya, amalan kitar semula merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah. Bak kata peribahasa, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Oleh itu, pihak sekolah haruslah memainkan peranan penting dalam mendidik dan menggalakkan murid-murid untuk mengamalkan kitar semula. William Shakespeare pernah berkata, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Lantaran itu, usaha yang berterusan dan kerjasama daripada semua pihak adalah diperlukan supaya usaha ini tidak menjadi sia-sia. Sehubungan dengan itu, generasi muda dapat membesar dengan kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, menjadikan negara kita lebih lestari dan sejahtera.



(505 patah perkataan)


Ulasan