Punca-punca Generasi Muda Kurang Meminati Sektor Pertanian
Cabaran utama sektor pertanian di Malaysia ialah kesinambungan dari segi survival berikutan komuniti pertanian lebih dipelopori golongan sudah berumur. Generasi muda pada masa ini kurang meminati sektor pertanian dan menganggap penyertaan dalam bidang pertanian sebagai bahaya, kotor, sukar dan hina (4D) serta mereka yang terbabit dalam sektor ini dianggap menerima gaji rendah dan tidak menjanjikan masa depan yang baik.
(Sumber : My Metro, 2 September 2021)
Berdasarkan petikan di atas, huraikan punca-punca generasi muda kurang meminati sektor pertanian.
Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, sektor pertanian di Malaysia menghadapi cabaran besar dalam menarik minat generasi muda. Berdasarkan petikan di atas, kita dapat melihat bahawa generasi muda kurang meminati sektor pertanian kerana beberapa faktor utama. Antaranya ialah kurangnya pendedahan teknologi moden yang boleh memodenkan sektor ini dan mengubah persepsi bahawa pekerjaan ini kotor dan sukar. Selain itu, persepsi negatif bahawa sektor pertanian tidak menjanjikan pendapatan lumayan turut mempengaruhi minat mereka. Kekurangan sokongan dan insentif daripada pihak berkuasa juga menyumbang kepada masalah ini. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menarik minat generasi muda dalam sektor pertanian?
Kurangnya pendedahan dan pendidikan mengenai teknologi moden dalam pertanian menjadi punca utama generasi muda kurang meminati sektor ini. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa pengetahuan tentang teknologi terkini, pertanian sering dilihat sebagai pekerjaan tradisional yang ketinggalan zaman. Contohnya, penggunaan dron untuk pemantauan tanaman dan sistem pengairan pintar masih kurang diketahui oleh golongan muda. Tanpa pendedahan ini, mereka tidak dapat melihat potensi sebenar sektor pertanian yang kini semakin canggih dan berteknologi tinggi. Tambahan pula, institusi pendidikan jarang menawarkan kursus yang berkaitan dengan teknologi pertanian moden. Tegasnya, pendedahan yang lebih meluas dan pendidikan yang relevan perlu diberikan untuk menarik minat generasi muda terhadap sektor pertanian.
Selain itu, persepsi negatif terhadap sektor pertanian turut menyumbang kepada kurangnya minat generasi muda dalam bidang ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pekerjaan dalam sektor pertanian sering dianggap kotor dan sukar, serta tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan. Generasi muda terpengaruh dengan globalisasi dan lebih cenderung memilih kerjaya yang menawarkan gaji tinggi dan status sosial yang lebih baik. Contohnya, ramai yang beranggapan bahawa bekerja di pejabat lebih berprestij berbanding bekerja di ladang. Media massa juga memainkan peranan dalam mempengaruhi persepsi ini dengan lebih menonjolkan kerjaya dalam sektor lain. Tuntasnya, persepsi negatif ini perlu diubah untuk menarik minat generasi muda terhadap sektor pertanian.
Selanjutnya, kekurangan sokongan dan insentif daripada pihak berkuasa turut menjadi punca generasi muda kurang meminati sektor pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa sokongan yang kukuh, generasi muda berasa terpinggir dan tidak yakin untuk menceburi bidang ini. Contohnya, bantuan kewangan, latihan, dan kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi menyebabkan mereka sukar untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan pertanian. Natijahnya, mereka lebih cenderung memilih kerjaya lain yang menawarkan lebih banyak peluang dan sokongan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan insentif yang menarik dan sokongan berterusan bagi memastikan sektor pertanian kekal relevan dan menarik minat generasi muda.
Intihanya, kurangnya minat generasi muda terhadap sektor pertanian merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius. Bak kata peribahasa, "tak kenal maka tak cinta", generasi muda perlu didedahkan dengan potensi dan kepentingan sektor ini. Lantaran itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan sektor pertanian kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang berterusan diperlukan agar sektor pertanian tidak menjadi seperti melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, sektor pertanian dapat berkembang dan menyumbang kepada kemajuan negara.
(506 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan