Manfaat-manfaat yang diperoleh oleh Seseorang yang Mengamalkan Semangat Kejiranan dengan Baik



Sebagai jiran yang baik seseorang itu seharusnya mengenali siapa yang tinggal di kiri, kanan, belakang, hadapan dan juga sekitar rumahnya. Melalui kaedah ini, seseorang itu akan lebih peka dengan masalah dan situasi yang dihadapi oleh jiran. Kesusahan yang ditanggung oleh jiran mereka hendaklah dibantu semampu mungkin. Pertolongan yang diberikan akan memberikan seribu rahmat kepada mereka yang berada dalam kesusahan. 

Diubah suai daripada ‘Kita Saling Memerlukan” https://www.hmetro.com.my 6 Sept 2023 



Sebagai respons terhadap petikan di atas, semangat kejiranan perlu diperkukuh dalam kalangan masyarakat. Jelaskan manfaat-manfaat yang diperoleh oleh seseorang yang mengamalkan semangat kejiranan dengan baik.


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, masyarakat kita semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang boleh menggugat nilai-nilai tradisional, termasuklah semangat kejiranan. Di tengah-tengah arus kemodenan yang pesat, hubungan antara jiran tetangga sering kali diabaikan, menyebabkan masyarakat menjadi lebih individualistik. Namun, semangat kejiranan yang kukuh adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Dengan memupuk hubungan silaturahim yang erat, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah manfaat-manfaat yang diperoleh dengan mengamalkan semangat kejiranan yang baik?


         Memupuk hubungan silaturahim yang erat antara jiran tetangga adalah salah satu manfaat utama semangat kejiranan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila jiran tetangga saling mengenali, mereka akan lebih mudah untuk berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya, dengan mengadakan aktiviti seperti gotong-royong atau majlis kenduri, hubungan antara jiran dapat diperkukuh. Aktiviti sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah membolehkan setiap individu mengenali dan memahami budaya serta latar belakang masing-masing. Dengan itu, perasaan hormat-menghormati dan toleransi dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, hubungan silaturahim yang erat akan mewujudkan suasana harmoni dan saling mempercayai dalam komuniti.


         Selain itu, semangat kejiranan yang kukuh dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni. Apabila jiran tetangga saling mengenali dan peka dengan masalah jiran, mereka akan lebih mudah untuk mengawasi kawasan persekitaran. Contohnya, jika terdapat individu yang mencurigakan di kawasan kejiranan, jiran-jiran yang saling mengenali akan lebih cepat bertindak dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko jenayah, malah turut memberikan rasa selamat kepada penduduk setempat. Dengan adanya kerjasama dan saling membantu, masyarakat dapat hidup dalam suasana yang aman dan tenteram, sekali gus mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan mereka. Tuntasnya, semangat kejiranan yang baik adalah kunci kepada persekitaran yang selamat dan harmoni.


         Selanjutnya, semangat kejiranan yang kukuh memudahkan penyelesaian masalah komuniti melalui kerjasama dan saling membantu. Apabila jiran tetangga yang saling mengenali dan peka dengan masalah jiran, mereka lebih mudah untuk berganding bahu dalam menyelesaikan sebarang isu yang timbul. Contohnya, jika terdapat masalah keselamatan di kawasan perumahan, jiran-jiran boleh bekerjasama untuk mengadakan rondaan keselamatan secara bergilir-gilir. Pertolongan yang diberikan ini bukan sahaja menyelesaikan masalah dengan lebih cepat, malah mengukuhkan lagi hubungan antara mereka. Dengan adanya masyarakat yang bersatu padu, sebarang cabaran dapat diatasi dengan lebih berkesan, menjadikan persekitaran lebih selamat dan harmoni. Tuntasnya, semangat kejiranan adalah kunci kepada penyelesaian masalah komuniti.


         Intihanya, semangat kejiranan yang kukuh membawa pelbagai manfaat kepada individu dan masyarakat. Bak kata peribahasa, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Lantaran itu, setiap individu haruslah mengamalkan semangat kejiranan yang baik agar hubungan sesama jiran dapat diperkukuh. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang berterusan diperlukan untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara. Sehubungan dengan itu, masyarakat kita dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling membantu, menjadikan negara kita lebih aman dan sejahtera.



(482 patah perkataan)


Ulasan