Langkah-langkah Menangani Isu Penggunaan Bahasa Rojak dalam kalangan Remaja



Situasi bahasa yang saya alami hari ini adalah dari segi penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pelajar. Kejadian ini berlaku ketika saya dan kawan-kawan menjamu selera di sebuah kedai petang tadi. Saya telah terdengar perbualan seorang pelajar semasa menelefon seseorang mungkin kawannya iaitu ‘“I tengah makan ini, you all tunggu kejap la kat site biasa dalam ten minute I datang”. Setelah selesai berbual di telefon pelajar itu bergegas meninggalkan kedai tersebut untuk berjumpa dengan kawannya. Terdetik dalam fikiran saya tentang bahasa yang telah digunakan oleh pelajar tadi semasa bercakap dengan kawannya melalui telefon. Pelajar tadi telah menggunakan bahasa rojak kerana bahasanya yang bercampur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun pelajar tersebut ialah pelajar Melayu. 


(Dipetik dan diubah suai daripada https://amirulazwanbahasarojak.blogspot.com/2017/02/situasi.html) 


Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja telah menjadi rungutan dalam kalangan pendidik dan pencinta bahasa Melayu. Berikan pendapat anda untuk menangani isu tersebut.


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, penggunaan bahasa dalam kalangan remaja semakin terpengaruh dengan pelbagai unsur luar, termasuklah bahasa rojak. Bahasa rojak, yang merupakan campuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, semakin menjadi kebiasaan dalam komunikasi harian remaja. Fenomena ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendidik dan pencinta bahasa Melayu yang khuatir akan kemerosotan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani isu penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja agar identiti kebangsaan dapat dipelihara?


         Untuk menangani isu penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja, langkah perdana yang boleh diambil adalah dengan mengadakan kempen kesedaran bahasa di sekolah-sekolah. Kempen ini bertujuan untuk menekankan kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam komunikasi harian. Hal ini penting kerana remaja sering terdedah kepada pengaruh bahasa asing melalui media sosial dan hiburan, yang boleh menjejaskan keupayaan mereka berkomunikasi dengan tepat dalam bahasa ibunda. Contohnya, sekolah boleh menganjurkan pertandingan pidato atau penulisan esei yang menekankan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis. Tegasnya, kempen kesedaran bahasa dapat membantu memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan remaja.


         Selain itu, kemunculan program mentor-mentee di sekolah-sekolah dapat membantu meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan remaja. Dalam program ini, pelajar yang mahir dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul akan membimbing rakan sebaya mereka yang kurang mahir. Hal ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan saling membantu. Contohnya, pelajar yang lebih mahir boleh mengadakan sesi bimbingan mingguan untuk berkongsi tips dan teknik berkomunikasi dengan lebih efektif. Dengan adanya program ini, pelajar akan lebih yakin menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, sekali gus mengurangkan penggunaan bahasa rojak. Tuntasnya, program ini berpotensi besar dalam memartabatkan bahasa Melayu di kalangan remaja.


         Selanjutnya, mengintegrasikan elemen permainan bahasa dalam aktiviti kokurikulum dapat menjadikan pembelajaran bahasa Melayu lebih menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana elemen permainan bahasa mampu merangsang minat pelajar untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih kerap dalam komunikasi harian. Contohnya, aktiviti seperti teka-teki bahasa, pertandingan ejaan, dan permainan papan berasaskan kosa kata boleh dijalankan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar. Dengan cara ini, pelajar akan lebih terdorong untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan mengurangkan penggunaan bahasa rojak. Tuntasnya, elemen permainan bahasa dalam aktiviti kokurikulum berpotensi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan remaja.


         Intihanya, penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja perlu ditangani dengan bijaksana agar keindahan dan keaslian bahasa Melayu dapat dipelihara. Bak kata peribahasa, "bahasa jiwa bangsa", maka setiap individu haruslah memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Lantaran itu, semua pihak, termasuk pendidik, ibu bapa, dan masyarakat, perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang betul. Sehubungan dengan itu, usaha yang berterusan dan padu diperlukan agar bahasa Melayu tidak hilang ditelan zaman dan terus menjadi kebanggaan negara kita.



(475 patah perkataan)


Ulasan