Kepentingan Industri Agropelancongan
Agropelancongan ialah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Namun, konsep pelancongan ini belum begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha kerajaan menggalakkan industri agropelancongan ternyata memberikan impak besar, iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat, memajukan ekonomi negara dan mengekalkan kehijauan alam.
Sumber: Bernama Online, 18 Disember 2017
Berdasarkan petikan di atas, bincangkan kesan industri agropelancongan.
Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, industri pelancongan di Malaysia semakin berkembang pesat, termasuklah agropelancongan yang kian mendapat perhatian. Malaysia, dengan kekayaan sumber alam dan kepelbagaian budaya, menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan pertanian dan perladangan yang mampu menarik minat pelancong. Namun, konsep agropelancongan ini masih belum begitu popular dalam kalangan rakyat tempatan. Usaha kerajaan dalam mempromosikan industri ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, malah turut memajukan ekonomi negara dan memelihara kehijauan alam sekitar. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah kesan positif agropelancongan terhadap negara kita?
Berdasarkan petikan di atas, industri agropelancongan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam sektor pelancongan dan pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana agropelancongan membuka pelbagai peluang pekerjaan baharu yang dapat mengurangkan kadar pengangguran di kawasan luar bandar. Contohnya, penduduk tempatan boleh terlibat dalam aktiviti seperti pemandu pelancong, pengusaha homestay, dan pekerja ladang. Dengan adanya peluang pekerjaan ini, taraf hidup masyarakat setempat dapat ditingkatkan, sekali gus memajukan ekonomi negara melalui sektor pelancongan. Tegasnya, agropelancongan bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi penduduk tempatan.
Seterusnya, industri agropelancongan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan mempromosikan produk tempatan serta budaya pertanian kepada pelancong. Hal ini dikatakan demikian kerana pelancong yang berkunjung ke kawasan agropelancongan berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri keunikan produk tempatan yang dihasilkan oleh petani tempatan. Contohnya, pelancong boleh menyaksikan proses pembuatan produk seperti madu kelulut, buah-buahan tropika, dan herba tempatan yang mempunyai nilai perubatan. Selain itu, pelancong juga dapat mempelajari budaya pertanian tradisional yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Dengan cara ini, industri agropelancongan bukan sahaja memajukan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, malah turut memupuk kesedaran tentang budaya pertanian tempatan. Tuntasnya, agropelancongan berperanan penting dalam mempromosikan produk dan budaya tempatan kepada dunia luar.
Selanjutnya, industri agropelancongan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar melalui amalan pertanian lestari dan mesra alam. Hal ini dikatakan demikian kerana agropelancongan menggalakkan penggunaan teknik pertanian yang tidak merosakkan ekosistem, seperti penggunaan baja organik dan pengurusan air yang efisien. Contohnya, ladang-ladang yang terlibat dalam agropelancongan sering mempraktikkan kaedah pertanian organik yang mengurangkan pencemaran tanah dan air. Dengan memelihara kehijauan alam sekitar, industri ini bukan sahaja menarik minat pelancong terhadap keunikan pertanian Malaysia, malah menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan agropelancongan yang mampan. Tuntasnya, amalan pertanian lestari dalam agropelancongan memainkan peranan penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Intihanya, industri agropelancongan memberikan impak yang signifikan kepada ekonomi dan masyarakat setempat. Bak kata peribahasa, "bagai aur dengan tebing", kerjasama antara pihak kerajaan, pengusaha, dan masyarakat amat penting untuk memajukan sektor ini. William Shakespeare pernah berkata, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan agar industri agropelancongan tidak menjadi seperti "mencurah air ke daun keladi". Dengan sokongan padu, industri ini mampu berkembang pesat, menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain dalam sektor pelancongan. Sehubungan itu, agropelancongan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
(486 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan