Faktor-faktor yang Menyebabkan Pelajar Memilih untuk Berhenti Belajar
Data terkini mendedahkan bahawa hampir 50% pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sesi persekolahan 2021 telah memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Kos sara hidup yang tinggi perlu ditanggung oleh pelajar dan keluarga sepanjang pengajian menjadi punca utama berlakunya kemerosotan minat mereka untuk melanjutkan pengajian. Selain itu, ramai juga pelajar berkeinginan untuk berdikari dan membina peluang untuk menjana pendapatan sendiri, Kurangnya keyakinan terhadap impak serta manfaat jangka masa panjang selepas melanjutkan pengajian turut mempengaruhi keputusan mereka.
Sumber: https://berita.rtm.gov.my
Berdasarkan petikan di atas, huraikan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar memilih untuk berhenti belajar.
Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, pendidikan tinggi sepatutnya menjadi landasan utama untuk membina masa depan yang cerah. Namun, data terkini mendedahkan bahawa hampir 50% pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Fenomena ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan pihak berwajib. Kos sara hidup yang tinggi, keinginan untuk berdikari, dan kurangnya keyakinan terhadap manfaat jangka masa panjang pendidikan tinggi menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelajar. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi isu ini?
Berdasarkan petikan di atas, kos sara hidup yang tinggi merupakan faktor utama yang menyebabkan pelajar memilih untuk berhenti belajar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hal ini dikatakan demikian kerana beban kewangan yang perlu ditanggung oleh pelajar dan keluarga sepanjang tempoh pengajian adalah amat besar. Contohnya, yuran pengajian, kos buku, dan perbelanjaan harian seperti makanan dan pengangkutan boleh menambah tekanan ekonomi kepada keluarga pelajar. Beban kewangan keluarga yang semakin meningkat ini menyebabkan ramai pelajar terpaksa mengorbankan impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Tegasnya, kos sara hidup yang tinggi menjadi penghalang utama bagi pelajar untuk meneruskan pendidikan mereka.
Selain itu, keinginan pelajar untuk berdikari dan menjana pendapatan sendiri turut menjadi faktor utama mereka memilih untuk berhenti belajar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah pelajar merasakan bahawa mereka sudah bersedia untuk memasuki alam pekerjaan dan ingin merasai pengalaman bekerja serta memperoleh pendapatan sendiri. Contohnya, mereka mungkin terpengaruh dengan rakan sebaya yang sudah bekerja dan mampu membeli barangan mewah atau menyara diri sendiri. Keinginan untuk tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan keluarga juga mendorong mereka untuk mencari pekerjaan. Tuntasnya, hasrat untuk berdikari dan menjana pendapatan sendiri menjadi pendorong kepada keputusan pelajar untuk tidak melanjutkan pengajian.
Selanjutnya, kurangnya keyakinan terhadap impak jangka panjang pendidikan tinggi menjadi faktor pelajar memilih untuk berhenti belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar sering meragui manfaat jangka masa panjang yang diperoleh selepas melanjutkan pengajian. Contohnya, mereka bimbang tentang peluang pekerjaan selepas pengajian yang mungkin tidak sepadan dengan usaha dan kos yang telah dikeluarkan. Ketidakpastian ini menyebabkan pelajar merasakan bahawa melanjutkan pengajian tidak memberikan pulangan yang setimpal. Akibatnya, mereka lebih cenderung untuk memasuki pasaran kerja lebih awal dengan harapan dapat menjana pendapatan sendiri. Tegasnya, keyakinan terhadap manfaat pendidikan tinggi perlu dipupuk agar pelajar tidak terjebak dalam dilema ini.
Intihanya, keputusan pelajar untuk berhenti belajar adalah satu isu yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Bak kata peribahasa, "melentur buluh biarlah dari rebungnya", pendidikan adalah asas penting dalam membentuk masa depan seseorang. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Dengan usaha yang padu dan sokongan berterusan, kita dapat memastikan pelajar tidak terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan seterusnya mencapai kejayaan dalam hidup.
(487 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan