Usaha-usaha yang boleh Dilakukan untuk Mengeratkan Hubungan Kejiranan dalam kalangan Masyarakat di Negara Kita


Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada keutuhan dan kemantapan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Oleh itu, semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam konteks kejiranan, masyarakat perlu saling menghormati. Selain itu, amalan kunjung-mengunjung juga berupaya melahirkan nilai kasih sayang sesama jiran. Seterusnya, penubuhan kelab atau persatuan kejiranan yang aktif juga salah satu cara untuk memupuk semangat kejiranan. 


Sumber: Internet 


Berdasarkan petikan di atas, huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita.


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada keutuhan dan kemantapan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Dalam konteks ini, semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan bermasyarakat. Masyarakat perlu saling menghormati dan menjaga keselamatan diri dan harta benda. Selain itu, amalan kunjung-mengunjung juga berupaya melahirkan nilai kasih sayang sesama jiran. Oleh itu, usaha-usaha untuk mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita perlu diberi perhatian yang serius agar keharmonian dan kesejahteraan dapat dicapai. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita?


         Usaha perdana yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita adalah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan secara berkala. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti gotong-royong dapat mengumpulkan penduduk setempat untuk bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan perumahan mereka. Contohnya, penduduk boleh bergotong-royong membersihkan longkang, memotong rumput, dan mengutip sampah di sekitar kawasan perumahan. Aktiviti ini dikatakan serampang dua mata kerana bukan sahaja dapat memastikan persekitaran yang bersih dan selesa, malah dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Tegasnya, amalan gotong-royong secara berkala mampu memupuk semangat kejiranan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.


         Seterusnya, menganjurkan majlis rumah terbuka sempena perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan Deepavali merupakan salah satu usaha yang efektif untuk mengeratkan hubungan kejiranan. Amalan kunjung-mengunjung ini berupaya melahirkan nilai kasih sayang sesama jiran dan memperkukuhkan semangat kejiranan. Contohnya, jiran-jiran dapat berkumpul, berinteraksi, dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam dalam suasana yang mesra dan harmoni. Masyarakat perlu saling menghormati dan memahami budaya serta tradisi yang berbeza, selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Dato Anwar Seri Ibrahim. Tuntasnya, majlis rumah terbuka dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat.


         Selanjutnya, menubuhkan kelab atau persatuan kejiranan yang aktif dalam menganjurkan aktiviti sosial dan sukan merupakan salah satu usaha yang efektif untuk mengeratkan hubungan kejiranan. Hal ini dikatakan demikian kerana kelab atau persatuan kejiranan dapat menjadi platform untuk penduduk setempat berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Contohnya, aktiviti seperti pertandingan bola sepak, senamrobik, atau majlis makan malam boleh dianjurkan secara berkala. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga dapat memupuk semangat kejiranan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat. Tuntasnya, penubuhan kelab atau persatuan kejiranan yang aktif adalah langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan kejiranan.


         Intihanya, usaha untuk mengeratkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita adalah amat penting. Bak kata peribahasa, "bersatu teguh, bercerai roboh". Lantaran itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memastikan hubungan kejiranan yang erat kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang padu daripada semua pihak adalah diperlukan supaya usaha sebelum ini tidak umpama mencurah air ke daun keladi. Sehubungan dengan itu, masyarakat kita akan hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera dan negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju lain.



(500 patah perkataan)


Ulasan