Persediaan-persediaan Para Pelajar sebelum Melanjutkan Pengajian di Institusi Pengajian Tinggi


Bergelar seorang mahasiswa menjadi impian para pelajar demi masa depan yang gemilang. Namun, mereka perlulah membuat kajian atau mengumpulkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan di universiti sebagai gambaran awal bagi menentukan hala tuju selepas tamat pengajian. 


Sumber: Internet 



Pada pendapat anda, selain saranan yang dinyatakan dalam petikan di atas, apakah persediaan-persediaan yang harus dilakukan oleh para pelajar sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi?


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, pendidikan tinggi menjadi salah satu tonggak utama dalam pembangunan negara. Bergelar seorang mahasiswa menjadi impian para pelajar demi masa depan yang gemilang. Namun, untuk mencapai impian tersebut, pelajar perlu membuat persediaan yang rapi sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Berdasarkan petikan di atas, pelajar perlu membuat kajian atau mengumpulkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan di universiti sebagai gambaran awal bagi menentukan hala tuju selepas tamat pengajian. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah persediaan lain yang perlu dilakukan oleh pelajar sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi?


         Pertama sekali, penguasaan kemahiran pengurusan masa yang efektif adalah salah satu persediaan penting yang harus dilakukan oleh para pelajar sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar perlu belajar mengurus masa dengan baik untuk memastikan mereka dapat menyeimbangkan antara akademik dan aktiviti kokurikulum. Contohnya, pelajar boleh menggunakan jadual harian atau aplikasi pengurusan masa untuk merancang aktiviti harian mereka. Dengan cara ini, pelajar dapat mengelakkan tekanan dan memastikan semua tugasan diselesaikan tepat pada masanya. Tegasnya, kemahiran pengurusan masa yang efektif adalah kunci untuk mencapai kejayaan akademik dan kehidupan yang seimbang di universiti.


         Seterusnya, pelajar perlu menyediakan kewangan yang mencukupi sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Hal ini penting kerana kos pengajian dan sara hidup di universiti adalah tinggi dan memerlukan perancangan kewangan yang teliti. Pelajar boleh mencari biasiswa atau pinjaman pendidikan sebagai salah satu cara untuk meringankan beban kewangan mereka. Contohnya, pelajar boleh memohon biasiswa daripada kerajaan atau syarikat swasta yang menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang. Selain itu, pelajar juga boleh bekerja sambilan untuk menambah pendapatan mereka. Dengan perancangan kewangan yang baik, pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian tanpa perlu risau tentang masalah kewangan. Tuntasnya, penyediaan kewangan yang mencukupi adalah langkah penting dalam memastikan kejayaan pelajar di universiti.


         Selanjutnya, menghadiri kursus persediaan atau orientasi yang ditawarkan oleh institusi adalah langkah penting bagi pelajar sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana kursus ini dapat membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di universiti. Contohnya, pelajar akan diberi pendedahan tentang struktur kursus, kemudahan yang disediakan, dan peraturan universiti. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan baru dan pensyarah, yang dapat membina rangkaian sosial yang positif. Dengan menghadiri kursus persediaan ini, pelajar akan lebih bersedia dari segi mental dan emosi untuk menghadapi cabaran di universiti. Tuntasnya, kursus persediaan atau orientasi adalah elemen penting dalam memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan baik di persekitaran baru.


         Intihanya, persediaan yang rapi adalah kunci kejayaan para pelajar sebelum melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Bak kata peribahasa, "sediakan payung sebelum hujan". Lantaran itu, semua pelajar haruslah bersedia dari segi mental, fizikal, dan emosi untuk menghadapi cabaran yang bakal mendatang. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang gigih dan persediaan yang mantap adalah diperlukan supaya pelajar tidak terumbang-ambing di kemudian hari. Sehubungan dengan itu, pelajar dapat menempuh alam pengajian tinggi dengan lebih yakin dan berjaya.



(504 patah perkataan)


Ulasan