Manfaat-manfaat Aktiviti Melancong


Dewasa ini, aktiviti melancong sudah menjadi semakin popular sama ada dilakukan secara individu ataupun bersama-sama keluarga. Namun begitu, masih ada yang menganggap melancong hanyalah sesuatu yang membuang masa dan wang semata-mata untuk berseronok. Melancong sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat seperti menambahkan ilmu pengetahuan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat dan menghilangkan stres. 


Dipetik dan diubah suai : Sumber Internet 


Berdasarkan petikan di atas, bincangkan manfaat-manfaat aktviti melancong.


         Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, aktiviti melancong telah menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kita. Sama ada dilakukan secara individu ataupun bersama keluarga, melancong kini dianggap sebagai satu cara untuk melarikan diri daripada kesibukan hidup seharian. Namun begitu, masih ada segelintir pihak yang berpendapat bahawa melancong hanyalah satu aktiviti yang membuang masa dan wang semata-mata untuk berseronok. Hakikatnya, melancong mempunyai pelbagai manfaat yang tidak boleh dipandang enteng. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah manfaat-manfaat yang boleh diperoleh daripada aktiviti melancong?


         Melancong ke destinasi baru dapat meningkatkan kefahaman budaya dan adat resam tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana pelancong berpeluang untuk berinteraksi dengan penduduk setempat dan mempelajari cara hidup mereka. Contohnya, pelancong yang melawat kampung tradisional di Malaysia dapat menyaksikan upacara adat seperti perkahwinan tradisional atau perayaan kebudayaan seperti Hari Gawai dan Pesta Kaamatan. Pengalaman ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan tetapi juga mengeratkan hubungan antara pelancong dan penduduk tempatan. Dengan memahami dan menghargai budaya serta adat resam tempatan, pelancong dapat mengurangkan prasangka dan meningkatkan toleransi. Tegasnya, melancong adalah satu cara efektif untuk memperluas pandangan dunia dan meningkatkan kefahaman budaya.


         Seterusnya, aktiviti melancong dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat melalui perbelanjaan pelancong. Hal ini dikatakan demikian kerana pelancong yang berkunjung ke sesuatu destinasi akan membelanjakan wang mereka untuk pelbagai perkhidmatan dan barangan tempatan. Contohnya, pelancong akan menginap di hotel, makan di restoran, membeli cenderamata, dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan tempatan. Natijahnya, perbelanjaan ini akan meningkatkan pendapatan peniaga dan penyedia perkhidmatan setempat, seterusnya merancakkan ekonomi tempatan. Dengan itu, peluang pekerjaan juga akan bertambah, dan taraf hidup penduduk setempat akan meningkat. Tuntasnya, aktiviti melancong memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.


         Selanjutnya, melancong dapat memperbaiki kesihatan mental dengan mengurangkan tekanan dan kebimbangan. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti melancong membolehkan individu melarikan diri seketika daripada rutin harian yang membosankan dan menekan. Contohnya, melancong ke destinasi yang menawarkan pemandangan indah seperti pantai atau gunung dapat memberikan ketenangan dan kedamaian kepada minda. Selain itu, pengalaman baru yang diperoleh semasa melancong juga dapat merangsang minda dan mengalihkan perhatian daripada masalah harian. Natijahnya, individu akan kembali dengan semangat yang lebih segar dan positif. Tuntasnya, melancong merupakan satu cara efektif untuk memperbaiki kesihatan mental.


         Intihanya, aktiviti melancong memberikan pelbagai manfaat yang tidak ternilai kepada individu dan masyarakat. Bak kata peribahasa, "jauh perjalanan, luas pemandangan". Lantaran itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan aktiviti melancong kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata bahawa, "jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi". Oleh itu, usaha yang padu daripada semua pihak adalah diperlukan supaya manfaat melancong dapat dinikmati oleh semua. Sehubungan dengan itu, negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain dalam sektor pelancongan.



(457 patah perkataan)


Ulasan