Kesan-kesan Pendatang Asing Tanpa Izin




PUTRAJAYA - Seramai 145,830 pendatang tanpa izin telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang sejak dilaksanakan pada November tahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Melalui Program Rekalibrasi Pulang, kerajaan tela mengutip RM35.1 juta daripada kompaun dan bayaran pas khas yang dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin yang ingin pulang. 
(Sumber: Sinar Harian)


Bilangan pendatang asing tanpa izin di Malaysia adalah banyak. Kehadiran mereka menimbulkan pelbagai kesan  negatif, sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Huraikan kesan-kesan pendatang asing tanpa izin.


Tema: Pendatang asing tanpa izin
Kunci Soalan: Kesan-kesan Pendatanga Asing Tanpa Izin


Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era globalisasi ini, roda pembangunan negara kita bergerak bagai lipas kudung dan ekonomi negara kita tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Sayang seribu kali sayang, di sebalik pembangunan pesat tersebut terdapat satu lakaram suram, iaitu bilangan pendatang asing tanpa izin yang membanjiri negara kita semakin meningkat pada saban tahun tanpa titik noktahnya. Hal ini telah menjadi buah mulut masyarakat. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, pihak kerajaan telah melancarkan Program Rekalibrasi Pulang untuk menghantar pendatang tanpa izin yang ingin pulang balik ke negara asal mereka. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut, persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah kesan-kesan pendatang asing tanpa izin?


Kesan perdana ialah pendatang asing tanpa izin kemungkinan besar akan membawa penyakit-penyakit berjangkit ke negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pendatang asing tanpa izin tidak perlu melalui pemeriksaan dari segi kesihatan ataupun tidak pernah disuntik vaksin sebelum menyeludup ke negara kita. Contohnya, pendatang asing tanpa izin boleh menyebar penyakit berjangkit seperti AIDS, batuk kering atau Influenza yang mampu mencetuskan epidemik. Hal ini akan mengancam kesihatan rakyat Malaysia dan membebankan sistem perubatan di Malaysia lantaran peningkatan penyakit infeksi secara drastik dalam suatu kelompok masyarakat. Tegasnya, pendatang asing tanpa izin boleh mengakibatkan penularan wabak penyakit berjangkit dan memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia.


Selanjutnya, terdapat sesetengah pendatang asing tanpa izin terbabit dalam aktiviti jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang tidak mempunyai permit yang sah akan hidup sebagai pelari dan hanya mendapat pekerjaan yang berpendapatan rendah. Natijahnya, mereka yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi akan terdesak untuk melakukan aktiviti jenayah supaya dapat meneruskan kehidupan di Malaysia. Contohnya, mereka akan terlibat dalam kegiatan ragut dan samun demi sesuap nasi dan seteguk air kerana konsep hidup di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung tidak pernah terlintas dalam benak mereka. Hal ini telah meningkatan kes jenayah di Malaysia secara mendadak dan kehidupan rakyat Malaysia seperti telur di hujung tanduk. Tuntasnya, pendatang asing tanpa izin akan menjejaskan keamanan Malaysia.


Bak kata peribahasa, “ada gula adalah semut”. Mereka menyeludup ke Malaysia kerana negara kita banyak mempunyai peluang pekerjaan. Hal ini akan mengakibatkan masalah pengangguran dalam kalangan watan negara kerana majikan lebih berminat untuk memilih mereka yang tidak bersikap pilih kerja. Seterusnya, majikan tidak perlu membayar gaji yang tinggi kepada mereka dan hal ini dapat menjimatkan kos sumber manusia. Contohnya, majikan dalam bidang pembinaan lebih berminat mengupah pendatang asing tanpa izin yang lebih berani untuk terlibat dalam pekerjaan 3D, iaitu bahaya, kotor dan susah. Hal ini akan menyebabkan watan negara kurang berpeluang untuk menceburi bidang tersebut dan meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa pendatang asing tanpa izin telah merampas rezeki rakyat Malaysia.


Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa pendatang tanpa izin yang menyeludup ke Malaysia telah banyak mendatangkan masalah dan keburukan kepada negara kita. Lantaran itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan masalah penyeludupan pendatang tanpa izin kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. William J. Siegel pernah berkata bahawa “manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi mereka gagal untuk merancang”. Oleh itu, perancangan rapi haruslah dirancang untuk mengatasi masalah tersebut sebelum nasi menjadi bubur. Dalam hal ini, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan negara asing melalui Dasar Luar Negara untuk bersama-sama merancang penyelesaian masalah penyeludupan pendatang tanpa izin. Sehubungan dengan itu, keamanan negara dapat terjamin. 


(507 patah perkataan)



Markah - Disemak Cikgu OKH

59/70


Ulasan

  1. Saya(penulis) turut seorang murid yang bakal menduduki SPM pada bulan Mac. Oleh sebab saya juga perlu membuat persediaan juga, jadi blog ini akan dikemas kini selepas SPM. Semoga berjaya kepada murid-murid yang bakal menduduki SPM!

    BalasPadam

Catat Ulasan