Kepentingan E-Sukan





        Zaman beralih, musim berubah. Dalam persepsi kebanyakan orang, sukan merupakan suatu aktiviti yang melibatkan kecergasan fizikal seseorang. Sesungguhnya, sejajar dengan era moden yang dilimpahi dengan pelbagai teknologi maklumat, terdapat satu sukan yang memerlukan teknologi seperti komputer, papan kekunci dan telefon pintar, iaitu e-sukan. E-sukan dikelaskan sebagai salah satu jenis sukan kerana e-sukan memerlukan kecerdasan minda peserta dan berpaksikan daya saing yang kuat antara peserta. Contohnya, Dota, PUBG, dan Call Of Duty  telah menjadi permainan maya yang sering dipertandingkan dalam e-sukan. Sayang seribu kali sayang, golongan muda sering dikongkongkan oleh ibu bapa untuk tidak menceburi bidang e-sukan supaya masa depan mereka terjamin. Sebenarnya, e-sukan memang banyak mendatangkan faedah kepada kita.


        Kepentingan perdana e-sukan ialah e-sukan mampu mencerdaskan minda kita. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan maya dalam e-sukan memerlukan perancangan strategi yang baik, koordinasi jari-jari tangan yang fleksibel serta reaksi yang cepat supaya mampu memenangi permainan tersebut. Contohnya, terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa peserta e-sukan diyakini mempunyai masa reaksi yang lebih cepat berbanding dengan orang lain. Bukan itu sahaja, peserta e-sukan turut akan bijak merancang strategi ampuh dalam menempuhi sebarang masalah yang melanda kehidupannya. Dengan itu, generasi muda yang bersikap bijak bagai menarik rambut di dalam tepung akan dilahirkan. Tegasnya, e-sukan mampu melahirkan generasi muda yang berminda kognitif.


        Selanjutnya, e-sukan turut dapat menghiburkan hati kita. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan maya dalam e-sukan membantu kita melepaskan tekanan yang terpendam dalam hati kita. Misalnya, permainan maya yang mempunyai grafik yang cantik dan ganjaran tugasan permainan maya yang menarik mampu merangsang hormon-hormon yang dapat menghiburkan minda kita ketika berasa bosan. Dalam hal ini, tekanan pelajaran murid yang sering berorientasikan peperiksaan dapat diseimbangkan dengan permainan maya dalam e-sukan. Dengan itu, kita akan hidup dengan lebih ceria dalam kehidupan. Tuntasnya, e-sukan boleh dijadikan sebagai wadah untuk melupakan sebarang tekanan dan menikmati hiburan.


        Sementalahan, kita mampu menjana pendapatan melalui e-sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak pertandingan e-sukan menyediakan wang dan hadiah yang lumayan kepada pemenang-pemenang. Tamsilnya, terdapat seorang remaja di Amerika Syarikat yang masih berumur 16 tahun telah muncul sebagai pemenang johan pertandingan e-sukan iaitu Fortnite dan berjaya memenangi bejuta-juta wang. Sesungguhnya, jika kita mewakili negara kita dan menang dalam pertandingan e-sukan, kita bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah kita dapat mengharumkan nama negara kita. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Tegasnya, e-sukan boleh dijadikan sebagai satu kerjaya kita pada masa depan dan e-sukan turut menjamin masa depan kita yang cerah.


       Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa e-sukan banyak mendatangkan kepentingan kepada kita. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu tangan bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang e-sukan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Ingatlah pesanan William Shakespeare, “jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasil belum dicapai”. Rentetan dengan itu, ibu bapa perlu melakukan anjakan paradigma dengan mengikis persepsi buruk terhadap e-sukan iaitu menganggap e-sukan tidak menjamin masa depan yang cerah. Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen untuk memikat hati generasi muda untuk menceburi bidang e-sukan. Dengan itu, negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain di samping nama negara kita akan gah di persada dunia.


(498 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu OKH
65/70

Ulasan