Usaha-usaha Yang Boleh Dilakukan Oleh Pelbagai Pihak Agar Dapat Menarik Minat Generasi Muda Menceburi Bidang Pekerjaan "kolar baharu"

 


Kuala Lumpur : Kita biasa dengar pekerja kolar biru dan kolar putih tetapi ada satu lagi bidang pekerjaan yang mungkin kurang diberi perhatian iaitu “kolar baharu”. Secara umumnya, seseorang pekerja “kolar baharu” ialah individu yang memajukan diri dengan kemahiran teknikal dan insaniah. Golongan ini bekerja dalam bidang berkaitan dengan teknologi dan kemahiran. Kerjaya “kolar baharu” seperti tukang paip, juruelektrik dan tukang gunting rambut mungkin dianggap kerjaya kelas kedua pada waktu dahulu tetapi tidak lagi sekarang. Permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga mahir bidang itu mengangkatnya ke satu tahap yang harus dibanggakan. Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran percaya bidang “kolar baharu” ini adalah satu peluang yang perlu direbut rakyat Malaysia.

(Sumber : BERNAMA, 13 Februari, 2020)


Bidang pekerjaan dalam petikan di atas jelas mendapat permintaan yang tinggi.

Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak agar dapat menarik minat generasi muda menceburi bidang pekerjaan tersebut.


Tema: Kerjaya
Kunci Soalan: Usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak agar dapat menarik minat generasi muda menceburi bidang pekerjaan "kolar baharu"


Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era pascamerdeka ini, pihak kerajaan telah mempelbagaikan kegiatan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional supaya kadar pengangguran di negara kita dapat berkurang. Pekerjaan yang biasanya diceburi oleh rakyat ialah pekerjaan kolar biru dan kolar putih tetapi pekerjaan “kolar baharu” kurang diceburi oleh rakyat. Secara umumnya, seseorang pekerja “kolar baharu” ialah individu yang memajukan diri dengan kemahiran teknikal dan insaniah. Golongan ini bekerja dalam bidang berkaitan dengan teknologi dan kemahiran. Kerjaya “kolar baharu” ini termasuklah tukang paip, juruelektrik dan tukang gunting rambut. Sesungguhnya, permintaan terhadap bidang pekerjaan tersebut semakin meningkat. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak agar dapat menarik minat generasi muda menceburi bidang pekerjaan tersebut?


Langkah perdana ialah pihak kerajaan haruslah mengadakan bengkel dan memberikan latihan yang berkaitan dengan bidang “kolar baharu” kepada golongan belia. Hal ini dikatakan demikian kerana latihan tersebut dapat melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam bidang pekerjaan tersebut. Contohnya, tindakan pihak kerajaan menubuhkan Pusat Latihan Kemahiran Giatmara merupakan tindakan yang terpuji kerana membolehkan golongan dilatih mudah mendapatkan pekerjaan “kolar baharu” yang berkaitan dengan kemahiran sendiri. Dengan adanya latihan yang berkualiti, ramai generasi muda akan berminat untuk menceburi bidang tersebut. Tegasnya, pihak kerajaan haruslah menawarkan kursus kemahiran yang berkaitan dengan bidang “kolar baharu” dari semasa ke semasa dan bukan hanya bagai melepaskan batuk di tangga.


Selanjutnya, ibu bapa turut memainkan peranan yang dominan dalam menggalakkan anak-anak mereka untuk menceburi bidang “kolar baharu”. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak mereka. Rentetan itu, ibu bapa haruslah mendorong anak mereka untuk menceburi bidang pekerjaan tersebut. Misalnya, ibu bapa  boleh menerangkan faedah menceburi bidang pekerjaan “kolar baharu” dan meyakinkan anak mereka bahawa kolar baharu tidak berpendapatan rendah serta bukan pekerjaan kelas bawahan. Sehubungan dengan itu, tanggapan buruk dan stigma anak mereka terhadap “kolar baharu” dapat dikikis sekali gus memikat hati mereka terhadap bidang pekerjaan tersebut. Tuntasnya,  dorongan ibu bapa mampu menarik minat anak mereka untuk menceburi bidang “kolar baharu”.


Sementelahan, pihak sekolah boleh mendedahkan kemahiran bidang pekerjaan “kolar baharu” kepada murid-murid sejak bangku sekolah lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid yang masih berumur setahun sejagung mudah menerima pengaruh luar. Dalam hal ini, pihak sekolah boleh memasukkan kemahiran bidang pekerjaan “kolar baharu” seperti teknik membaiki paip dalam sukatan pelajaran. Sehubungan dengan itu, murid boleh menggunakan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dan dimiliki untuk diaplikasikan dalam bidang pekerjaan “kolar baharu”. Tegasnya, pendedahan awal tentang kemahiran bidang pekerjaan tersebut oleh pihak sekolah mampu menarik minat murid untuk menceburi bidang pekerjaan tersebut ketika dewasa. 


Intihanya, bidang pekerjaan “kolar baharu” merupakan peluang pekerjaan yang perlu direbut oleh rakyat Malaysia kerana permintaan terhadap pekerjaan tersebut semakin meningkat pada saban tahun. Oleh itu, sampailah masa untuk minda masyarakat melonjakkan anjakan paradigma untuk mengikis tanggapan buruk terhadap bidang pekerjaan “kolar baharu”. William Shakespeare pernah berkata bahawa “jangan hentikan usaha yang mulia, selagi hasilnya belum dikecapi”. Lantaran itu, pelbagai pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menarik minat generasi muda untuk membabitkan diri dalam bidang pekerjaan “kolar baharu” kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Sehubungan dengan itu, kadar pengangguran di negara kita dapat menurun dan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.


(506 patah perkataan)



Markah - Disemak Cikgu OKH
58/70

Ulasan