Peranan Ibu Bapa supaya Anak-anak Tidak Menyalahgunakan Kemudahan Internet


Internet merupakan satu daripada medium yang telah menjadi dunai seolah-olah semakin mengecil. Para pengguna dapat menggunakan Internet sebagai alat komunikasi dalam pembelajaran dan perhubungan.

(Sumber: Internet)


Pelbagai maklumat yang bermanfaat mahupun sebaliknya disalaurkan dengan mudahnya kepada pengguna Internet tanpa kawalan.

Huraikan peranan ibu bapa supaya anak-anak tidak menyalahgunakan kemudahan Internet.


Tema: Internet
Kunci Soalan: Peranan Ibu Bapa supaya Anak-anak Tidak Menyalahgunakan Kemudahan Internet


  Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era yang dilimpahi dengan teknologi maklumat, pelbagai inovasi dicipta untuk memenuhi keperluan manusia, terutamanya kemudahan Internet. Internet merupakan satu inovasi yang menjadikan dunia seolah-olah semakin mengecil. Internet boleh dijadikan sebagai wadah dalam bidang pembelajaran dan perhubungan. Sayang seribu kali sayang, golongan generasi muda yang masih berusia setahun jagung tidak dapat membezakan antara kaca dengan permata dan semakin terjebak dalam perbuatan menyalahgunakan kemudahan Internet. Hal ini menyayat hati masyarakat kerana generasi muda merupakan aset negara yang bakal menerajui tonggak kepemimpinan negara kita pada masa depan. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah peranan ibu bapa supaya anak-anak tidak menyalahgunakan kemudahan Internet?


Peranan ibu bapa perdana ialah ibu bapa haruslah sentiasa memantaukan sejarah Internet yang dilayari atau digunakan oleh anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan ini mampu mengelakkan anak-anak mereka daripada menelusuri laman sesawang yang berunsur negatif. Contohnya, ibu bapa boleh memuat turun aplikasi yang mampu mengawasi aktiviti anak dalam Internet. Sekiranya anak mereka tertekan laman sesawang yang berunsur lucah atau keganasan, ibu bapa mampu mengetahui perkara tersebut dan akan membimbing anak mereka pada peringkat awal supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Pengesanan pada peringkat awal ini mampu memandu anak mereka supaya tidak terpesong ke arah kemudaratan dan mereka tidak akan membabitkan diri dalam penyalahgunaan Internet. Tuntasnya, ibu bapa harus sentiasa memantau aktiviti anak dalam Internet.


Selanjutnya, Albert Einstein pernah berkata bahawa Ilmu tanpa agama adalah buta, agama tanpa ilmu adalah lumpuh. Jelaslah bahawa agama merupakan perisai golongan muda dalam mengharungi seribu batu dugaan luar. Rentetan dengan itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan dan menerapkan ajaran agama dalam sanubari anak mereka. Misalnya, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk acap kali membaca buku kitab dengan anak mereka pada waktu lapang. Sehubungan dengan itu, anak mereka dapat membezakan antara kaca dengan permata. Apabila mereka sedar bahawa perbuatan menyalahgunakan Internet adalah melanggar ajaran agama, mereka akan takut untuk berbuat demikian. Tegasnya tanpa ajaran agama, kehidupan golongan generasi muda akan seumpama kapal tanpa nakhoda yang berumbang-ambing di laut yang bergelola


Semetelahan, ibu bapa patut menjadi uswah hasanah kepada anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana anak umpama sehelai kain putih dan ibu bapa yang akan menentukan kain tersebut sama ada berwarna-warni atau hitam. Dalam hal ini, ibu bapa patut menjadi pengguna Internet yang berhemah dan beretika. Tamsilnya, ibu bapa tidak patut memplagiat hak cipta orang lain dengan menyalin karya orang lain sebagai laporan sendiri dalam Internet. Seterusnya, ibu bapa turut tidak boleh terlibat dalam jenayah siber yang merupakan perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Sehubungan dengan itu, anak mereka akan mencontohi sikap murni ibu bapa untuk menggunakan Internet secara beretika.  Tuntasnya, sikap bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul haruslah dielakkan

Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah anak-anak menyalahgunakan kemudahan Internet. Bak kata peribahasa “pemuda bangsa negara, pemudi tiang negara”, golongan generasi muda merupakan aset negara yang tidak ternilai harga. Ingatlah pesanan William Shakespeare bahawa jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi. Lantaran itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah tersebut kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Dengan itu, generasi muda yang berminda kelas pertama serta celik teknologi maklumat dapat dilahirkan dan negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.



(503 patah perkataan)



Markah - Disemak Cikgu OKH
55/70

Ulasan