Peranan Beberapa Pihak untuk Menangani Masalah Kekotoran di Tempat Awam dan Tandas Awam
Kebersihan merupakan suatu yang dicintai ALLAH. "Sesungguhnya ALLAH SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. ALLAH itu bersih. Dia menyukai kebersihan. ALLAH itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. ALLAH itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka berihkanlah olehmu tempat-tempamu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi." - Riwayat al-Tirmizi(Sumber: www.sinarharian.com.my)
Isu kebersihan ini sering kali menimbulkan masalah dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelbagai pihak.
Bincangkan peranan beberapa pihak untuk menangani masalah kekotoran di tempat awam dan tandas awam.
Tema: Masalah kekotoran
Kunci Soalan: Peranan Beberapa Pihak untuk Menangani Masalah Kekotoran di Tempat Awam dan Tandas Awam
Tidak dapat dinafikan bahawa pihak kerajaan telah banyak menyediakan tempat awam dan tandas awam demi kesenangan masyarakat. Riwayat al-Tirmizi pernah berkata bahawa “ALLAH itu bersih. Dia menyukai kebersihan”. Sayang seribu kali sayang, masyarakat yang kurang menghargai tempat awam dan tandas awam tersebut telah mengakibatkan masalah kekotoran di tempat awam dan tandas awam. Dalam hal ini, pihak kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan untuk mengupah pekerja bagi menjamin kebersihan tempat awam dan tandas awam. Memandangkan keadaan tempat awam dan tandas awam di negara kita yang kotor, persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah peranan beberapa pihak untuk menangani masalah kekotoran di tempat awam dan tandas awam?
Sebagai pembuka tirai perbincangan, ibu bapa haruslah menjadi uswah hasanah kepada anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana anak yang masih berumur setahun sejagung tidak mampu membezakan antara kaca dengan permata dan akan meniru perlakuan ibu bapa kerana bapa borek, anak rintik. Dalam hal ini, ibu bapa tidak wajar meludah dan membuang sampah-sarap dengan sewenang-wenangnya di tempat awam dan tandas awam. Sehubungan dengan itu, perbuatan murni ibu bapa dapat dicontohi oleh anak untuk menjaga kebersihan tempat awam dan tandas awam. Tegasnya, sikap bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul haruslah dielakkan oleh ibu bapa dalam menerapkan kesedaran sivik dalam sanubari anak untuk memastikan kebersihan tempat awam dan tandas awam.
Selanjutnya, pihak kerajaan seyogia menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan masalah kekotoran tempat awam dan tandas awam. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat tidak akan mempedulikan peraturan untuk menjaga kebersihan tempat awam dan tandas awam kerana mereka masih mampu membayar denda. Sekiranya pihak kerajaan menjadikan perbuatan mengotori tempat awam dan tandas awam sebagai perbuatan vandalisme yang akan menjatuhkan hukuman denda yang berat, sudah tentu masyarakat akan takut untuk mengotori tempat awam dan tandas awam. Sehubungan dengan itu, masyarakat akan berwaspada untuk menjaga kebersihan tempat awam dan tandas awam agar tidak didenda. Tuntasnya, pihak kerajaan patutlah menitikberatkan kebersihan tempat awam dan tandas awam dengan menguatkuasakan undang-undang.
Sementelahan, anggota masyarakat bertanggungjawab menjaga kebersihan tempat awam dan tandas awam. Hal ini dikatakan demikian kerana anggota masyarakat menggunakan tempat awam dan tandas awam setiap hari. Rentetan dengan itu, anggota masyarakat boleh sentiasa menganjurkan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan tempat awam dan tandas awam. Sehubungan dengan itu, tempat awam dan tandas awam yang bersih dapat membasmikan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, aktiviti gotong-royong merupakan satu pendekatan serampang dua mata untuk memupuk semangat perpaduan antara murid yang beraneka kaum dan menjaga kebersihan kawasan sekitar. Tegasnya, dengan adanya aktiviti gotong-royong yang berkala, tempat awam dan tandas awam yang bersih dapat dinikmati oleh rakyat.
Intihanya, rakyat mempunyai obligasi untuk menjaga kebersihan tempat awam dan tandas awam. Lantaran itu, semua pihak haruslah bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah kekotoran di tempat awam dan tandas awam yang sudah lama berakar umbi di negara kita kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Ingatlah pesanan William J. Siegel,”manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi mereka gagal untuk merancang”. Sekiranya perancangan yang rapi tidak dikendalikan , sudah pasti semua usaha yang dijalankan sebelum ini seolah-olah mencurah air ke daun keladi. Dengan adanya tempat awam dan tandas awam yang bersih, sudah tentu imej negara kita akan gah di persada dunia dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.
(501 patah perkataan)
Markah - Disemak Cikgu OKH
58/70
Ulasan
Catat Ulasan