Jenayah Siber (Karangan Respons Terhad)


Maklumat di bawah berkaitan dengan jenayah siber.

Bahan 1

JENAYAH SIBER
ANCAMAN KESELAMATAN NEGARA

"Menurut Pusat Strategik Dan Pembelajaran Antarabangsa, jenayah siber merupakan perbuatan ataupun tindakan yang menggunakan peranti elektronik seperti komputer, gajet dengan sambungan internet untuk menjalankan kegiatan pemalsuan dan pencurian data, penyebaran virus berbahaya, penggodaman dan pengintipan yang menyalahi undang-undang sesebuah negara."
Munirah Muhamad
Juara Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019
PENIPUAN SIBER
Sejak 2018, aduan insiden penipuan siber adalah yang tertinggi diterima saban tahun berbanding jenayag siber lain.

3,127
kes penipuan siber diadukan kepada Malaysia Computer Emergency Response Team (myCERT) bagi Januari hingga Julai 2019.

Jenayah siber 2018:
  • Penipuan siber        5,123
  • Pencerobohan         1,805
  • Kod jahat                1,700

Antara Jenis Aduan:
  • Memancing data (phishing)
  • "Nigerian scam"
  • Penipuan pekerjaan
  • Penipuan loteri
  • Penipuan dalam talian termasuk urus niaga jual beli barangan
Langkah elak jadi mangsa penipuan:

  1. Jangan mengemas kini status yang menunjukkan anda kesunyian, sedang mencari pasangan hidup, terdesak untuk memiliki seseorang.
  2. Jangan terlalu mudah terima permohonan untuk menjadi rakan di media sosial.
  3. Tidak terpedaya dengan sebarang pujian & pujuk rayu rakan media sosial.
  4. Jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran hadiah.
  5. Timbulkan perasaan ragu & syak khususnya kepada pernyataan seolah-olah dia berkedudukan, berpangkat, baru mendapat pekerjaan, berharta & lain-lain (yang kelihatan terlalu indah)
  6. Netizen perlu lebih berhati-hati sekiranya ada sebarang komunikasi melibatkan wang.

Sumber: CyberSecurity Malaysia



Bahan 2

Kenapa jenayah siber boleh berlaku? Apa puncanya?

  • Salah satu punca jenayah siber berlaku adalah kerana ia SUKAR UNTUK DIKENAL PASTI siapanya penjenayahnya.

  • Sikap manusia yang negatif kononnya SEKADAR SUKA-SUKA juga antara punca jenayah siber tersebar kerana ia sering dilakukan oleh manusia yang mempunyai sikap yang negatif.

  • Penjenayag hanya serang sistem sekadar suka-suka ataupun MENCUBA ILMU BAHARU  yang mereka pelajari.

  • Dipengaruhi sifat ketamakan untuk JADI KAYA dalam masa singkat dengan menggunakan kaedah alternatif menggodam kerana jenayah siber tidak perlu melibatkan tenaga fizikal seperti jenayah lain, contohnya merompak.

  • Penjenayah siber akan melakukan jenayah ini terhadap institusi pesaing atau MERKEA DIUPAH pihak tertentu. Biasanya mereka SUSAH DITANGKAP.

  • Federal Bureau of Investigation (FBI) menyatakan penjenayag siber biasanya GOLONGAN BERPENGETAHUAN ATAUPUN PROFESIONAL.

Huraikan pendapat anda tentang jenayah siber. 

Panjangnya huraian hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.


Jenayah siber merupakan perbuatan menggunakan peranti elektronik dengan sambungan Internet untuk menjalankan kegiatan pemalsuan serta pencurian data, penyebaran virus komputer, dan penggodaman dan pengintipan yang menyalahi undang-undang negara. Kini, jenayah siber semakin bermaharajalela di negara kita. Persoalannya, apakah punca jenayah siber boleh berlaku?


Punca perdana jenayah siber boleh berlaku ialah penjenayah siber sukar untuk dikenal pasti kerana penjenayah siber biasanya golongan berpengetahuan dalam bidang tersebut dan berkemungkinan diupah oleh pihak tertentu. Contohnya, mereka bijak menyembunyikan pengenalan mereka dengan menyamarkan pengenalan sendiri. Natijahnya, pihak polis tidak dapat mengenal pasti penjenayah siber. Tegasnya, penyamaran pengenalan mereka menyebabkan mereka susah ditangkap.


Selanjutnya, sikap manusia yang negatif turut menyumbang kepada aktiviti jenayah siber. Contohnya, mereka yang bersikap tamak akan melakukan aktiviti jenayah siber untuk menjadi kaya dalam masa singkat melalui kaedah alternatif menggodam. Seterusnya, terdapat sesetengah orang melakukan jenayah siber sekadar suka-suka atau mencuba ilmu baharu tentang jenayah siber. Tuntasnya, sikap manusia yang buruk mendorong aktiviti jenayah siber.


Intihanya, jenayah siber merupakan ancaman keselamatan negara kita. Lantaran itu, kita patut bersikap berwaspada ketika menggunakan Internet supaya tidak terpedaya oleh aktiviti penjenayah seperti penipuan loteri, penipuan pekerjaan, penipuan dalam talian dan pemancingan data. Sehubungan dengan itu, keselamatan negara kita dapat terjamin dan nama baik negara kita akan gah di persada dunia.


(204 patah perkataan)



Markah - disemak Cikgu OKH

25/30

Ulasan