Kesan-kesan PKP kepada masyarakat


Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia seolah-olah tiada noktahnya. Oleh itu, pihak kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia. Malah, PKP perlu dilanjutkan memandangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini belum menunjukkan penurunan yang ketara dan tahap pematuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan masih rendah.

(Sumber: BH Online, 9 April 2020)


Petikan akhbar di atas menyatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara kita.

Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tersebut kepada masyarakat.


Tema: Perintah kawalan Pergerakan (PKP)
Kunci Soalan: Kesan-kesan PKP kepada masyarakat


Sejak tahun 2019, wabak penyakit berjangkit COVID-19 telah melanda negara kita sehingga mengakibatkan kes penyakit tersebut meningkat pada saban hari tanpa titik noktahnya dan mengancam nyawa rakyat. Untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia, perdana menteri Malaysia yang ke-8, iaitu Muhyiddin Yassin telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sesungguhnya, PKP meminta rakyat duduk di rumah masing-masing dan mengurangkan kali keluar dari rumah. Sayang seribu kali sayang, pandemik COVID-19 datang seperti ribut, pergi seperti semut. Selain itu, pandemik di negara kita sepanjang masa PKP diterukkan lagi oleh COVID-19 bervariasi Delta. Memandangkan PKP tersebut telah lama dijalankan selama lebih daripada 1 tahun, persoalan yang muncul dalam gawang minda saya ialah apakah kesan-kesan PKP kepada masyarakat?


Kesan negatif perdana PKP kepada masyarakat ialah PKP telah mengakibatkan kadar pengangguran di negara kita meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana PKP telah memandatorikan rakyat untuk duduk di rumah dan tidak mampu bekerja di luar rumah terutamanya pekerja dari sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan. Selain itu, negara kita juga mengalami kegawatan ekonomi yang teruk. Masyarakat turut menerima tempiasnya apabila berjuta-juta pekerja di Malaysia terpaksa dipecat pekerjaan dan banyak syarikat yang gulung tikar. Contohnya, majikan yang terasa tertekan dari segi kerugian syarikat yang besar akan terpaksa untuk mengurangkan bilangan pekerja. Dengan itu, golongan pekerja yang hilang pekerjaan mereka akan terdesak untuk melakukan jenayah supaya mempunyai wang bagi menyara keluarga mereka. Tegasnya, PKP mengakibatkan ramai orang menganggur.


Selanjutnya, PKP turut menjejaskan kehadiran murid ke sekolah untuk belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana penyakit COVID-19 mudah menular dalam keadaan yang mempunyai ramai orang. Hal ini telah mendatangkan perubahan kepada sektor pendidikan apabila pembelajaran di kelas diubah menjadi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sepanjang PKP. Misalnya, para guru dan murid perlu menggunakan aplikasi-aplikasi perjumpaan seperti Google Meet, Zoom, dan Microsoft Team untuk menjalankan PdPR. Walau bagaimanapun, bukan setiap keluarga mampu membeli alat peranti untuk menjalani PdPR, terutamanya keluarga yang mempunyai kehidupan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selain itu, sesetengah murid tidak menumpukan perhatian ketika menjalani PdPR. Natijahnya, PdRP tidak efektif berbanding dengan pembelajaran di kelas. Tuntasnya, PKP menyebabkan pembelajaran tidak boleh dijalankan di sekolah.


Sementalahan, PKP juga mengakibatkan kesihatan masyarakat terjejas. Hal ini dikatakan demikian kerana PKP yang lama mengawal pergerakan masyarakat akan menyebabkan tekanan emosi dan mental masyarakat. Hal ini akan menyebabkan masyarakat mudah mengalami penyakit kemurungan. Selain itu, masyarakat juga kurang mempunyai peluang untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah di luar rumah. Contohnya, PKP tidak membenarkan rakyat bersenam di luar rumah kerana bimbang akan penularan penyakit COVID-19. Akibatnya, hal ini akan menjejaskan kecergasan tubuh badan masyarakat kerana kurang pergerakan otot-otot badan. Risiko masyarakat menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung turut akan meningkat. Teganya, kesihatan masyarakat akan terjejas jika PKP dijalankan dengan begitu lama.


Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa PKP banyak mendatangkan kesan kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, PKP merupakan langkah pihak kerajaan yang tidak dapat dielakkan untuk membendung penularan penyakit COVID-19. Lantaran itu, semua pihak patutlah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk mengawal penularan penyakit tersebut. Dalam hal ini, kita yang bergelar warganegara Malaysia patut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit tersebut. Selain itu, kita patut menyahut seruan pihak kerajaan untuk mengambil vaksin kerana “lindungi diri lindungi semua”.  Semoga penyakit COVID-19 dapat dibendung dengan secepat mungkin supaya negara kita dapat berpulih daripada segala kerugian yang dialami.


505 patah perkataan

 

Markah - disemak Cikgu OKH

55/70


Ulasan