Usaha-usaha menggalakkan generasi muda melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan


Program ini menumpukan perhatian kepada pembentukan kemahiran sukan spesifik bagi atlet-atlet berumur 13-21 tahun di peringkat negeri. Atlet-atlet terbaik ini nanti akan diberi peluang untuk memasuki Program Pelapis di peringkat zon mahupun kebangsaan. Latihan akan dijalankan secara separa masa sebanyak 5-8 sesi seminggu. Para atlet akan diberi kemudahan latihan dan kejurulatihan yang mencukupi bagi membolehkan mereka menjalani latihan yang teratur.

(Sumber: laman MSNPP)


Atlet negara China, Hong Chan yang berusia 14 tahun meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter platform Olimpik Tokyo. Namun begitu, Malaysia masih menghadapi ketandusan atlet yang berbakat seperti Hong Chan.

Huraikan usaha-usaha yang seharusnya dilakukan untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai bidang sukan.


Tema: Sukan
Kunci Soalan: Usaha-usaha menggalakkan generasi muda melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan

Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sukan merupakan aktiviti yang banyak dilakukan oleh semua lapisan masyarakat sejak zaman Tuk Nadur berkajang kain. Malaysia telah melakar kejayaan dalam bidang sukan apabila Datuk Mohd Azizulhasni Awang memenangi dalam acara keirin Olimpik Tokyo 2020. Sayang seribu kali sayang, bidang sukan semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Hal ini telah banyak menyayat hati masyarakat kerana ketandusan atlet-atlet yang berkaliber dalam bidang sukan. Dalam hal ini, Majlis Sukan Negara Pulau Pinang(MSNPP) telah menjalankan Program Pelapis untuk memastikan atlet dapat menjalankan latihan dengan teratur. Memandangkan kesungguhan MSNPP untuk meningkatkan mutu sukan negara kita, persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah usaha-usaha untuk menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam bidang sukan?


Usaha perdana untuk mendorong generasi muda bergiat aktif dalam bidang sukan ialah pihak kerajaan haruslah menyediakan prasarana sukan yang mencukupi dan menyelenggarakan prasarana sukan yang rosak. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya prasarana sukan yang lengkap, masyarakat mampu melakukan aktiviti sukan dalam keadaan yang selesa dan selamat. Contohnya, pihak kerajaan patut memperuntukkan wang untuk mewujudkan lebih banyak padang bola sepak dan gelanggang badminton. Sehubungan dengan itu, generasi muda akan berpeluang menikmati prasarana tersebut untuk melakukan aktiviti sukan. Tegasnya, pihak kerajaan patutlah memastikan prasarana sukan dalam keadaan yang baik dan mencukupi agar dapat digunakan oleh ramai orang.


Selanjutnya, ibu bapa perlu memupuk minat bersukan dalam jiwa anak mereka sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam hal ini, Ibu bapa menjadi ushwah hasanah kepada anak mereka kerana bagaimanakah contoh begitulah kuihnya. Contohnya, ibu bapa boleh acap kali membawa anak mereka ke taman untuk melakukan aktiviti sukan seperti bermain badminton. Hal ini merupakan satu pendekatan serampang dua mata untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mendorong anak mereka membabitkan diri dalam bidang sukan. Tegasnya, sikap bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul haruslah dielakkan oleh ibu bapa dalam memikat hati anak mereka terhadap bidang sukan.


     Sementalahan, pihak sekolah patut menganjurkan acara sukan setiap tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana acara sukan memberikan peluang emas kepada para murid untuk mencungkil bakat sendiri dalam bidang sukan. Contohnya, pihak sekolah boleh mengadakan acara sukan merentas desa dan acara bermain bola sepak setiap tahun. Sekiranya murid memenangi dalam acara sukan tersebut, mereka akan mendapati bakat sendiri dan akan berminat untuk menceburi bidang sukan kerana tak kenal maka tak cinta. Dalam hal ini, pihak sekolah boleh menyediakan hadiah lumayan kepada para pemenang untuk memikat hati murid membabitkan diri dalam bidang sukan. Tuntasnya, pihak sekolah boleh mengadakan acara sukan untuk menarik minat para untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.


        Intihanya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan untuk melahirkan murid yang holistik dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi. Lantaran itu, semua masyarakat wajar bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam bidang sukan. Kerjasama yang padu daripada semua pihak amat diperlukan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Menurut William J.Siegel, “manusia tidak merancang untuk gagal tetapi mereka gagal untuk merancang”. Sekiranya perancangan yang rapi tidak dikendalikan, sudah pasti semua usaha yang dijalankan sebelum ini seolah-olah mencurah air ke daun keladi. Jikalau generasi muda bergiat aktif dalam bidang sukan, ramai atlet berkaliber dapat dilahirkan untuk melakar kejayaan dalam acara sukan dan negara kita akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.


(495 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu OKH
60/70

Ulasan