Kepentingan Rumah Terbuka


menikmati makanan di rumah terbuka


Rumah terbuka di Malaysia bermaksud sesuatu perayaan agama disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebelum ini, konsep rumah terbuka dijalankan secara kecil-kecilan. Tuan rumah akan menjemput rakan taulan datang ke rumah bagi menikmati juadah yang disediakan semasa perayaan.

Tradisi rumah terbuka menjadi amalan masyarakat Malaysia setiap kali tibanya musim perayaan.

Jelaskan kepentingan mengadakan rumah terbuka.


Tema: Rumah terbuka
Kunci Soalan: Kepentingan rumah terbuka


      Rumah terbuka kerap dianjurkan di Malaysia terutamanya sepanjang perayaan. Sejajar dengan era globalisasi ini, amalan rumah terbuka semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat kini semakin sibuk dengan urusan sendiri dan mengejar fatamorgana. Perkara ini bertepatan dengan peribahasa “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Lantaran itu, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan yang ampuh untuk menganjurkan rumah terbuka sepanjang perayaan sama ada di peringkat negeri dan di peringkat antarabangsa. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka, persoalan yang muncul di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengadakan rumah terbuka?


      Kepentingan perdana menganjurkan rumah terbuka ialah perpaduan kaum dapat dijalinkan dengan lebih mesra. Hal ini dikatakan demikian kerana rumah terbuka memberikan peluang emas kepada semua kaum untuk berkongsi tentang adat resam, budaya, dan pantang larang kaum sendiri. Dalam hal ini, pengunjung rumah terbuka yang beraneka kaum dapat mengenali budaya kaum lain dengan lebih mendalam dan mencetuskan suasana persefahaman dalam kalangan masyarakat kerana tak kenal maka tak cinta. Sehubungan dengan itu, peristiwa rusuhan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Rentetan dengan itu, “Gagasan Keluarga Malaysia” yang diuar-uarkan oleh perdana menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob dapat dicapai. Tegasnya, rumah terbuka telah menyediakan satu medan kepada semua rakyat berbilang kaum untuk berbual-bual tanpa sebarang prejudis dan prasangka. 


    Selanjutnya, penganjuran rumah terbuka dapat menggamit hati pelancong untuk mengunjungi ke negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pelancong datang ke negara kita untuk mengetahui budaya negara kita dengan lebih mendalam kerana jauh perjalanan, luas pemandangan. Apabila pelancong yang pernah melibatkan diri dalam rumah terbuka di negara kita balik ke negara asal mereka, mereka akan berkongsi tentang amalan rumah terbuka yang diamalkan di negara kita dan membolehkan nama negara kita meniti dari bibir ke bibir di negara luar sekali gus meningkatkan imej Malaysia di persada dunia. Bukan itu sahaja, ekonomi negara kita juga dapat dirancakkan ekoran daripada peningkatan pengaliran wang asing ke negara kita. Tuntasnya, rumah terbuka dapat menjadi daya tarikan pelancong untuk melawati negara kita.


    Sementalahan, penganjuran rumah terbuka dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana sebelum penganjuran rumah terbuka, kebanyakan keluarga sibuk terburu waktu dengan urusan sendiri dan kekurangan masa untuk berbual-bual antara ahli keluarga. Sepanjang rumah terbuka, ahli keluarga berpeluang untuk berkongsi pendapat antara satu sama lain. Selain itu, mereka juga dapat melepaskan kerinduan apabila dapat bertemu dengan ahli keluarga yang pulang dari tempat yang jauh untuk menyertai rumah terbuka. Mereka juga mampu menikmati juadah yang disediakan semasa perayaan bersama-sama. Tidak hairanlah mewujudkan suasana keluarga bahagia. Tegasnya, rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan lebih baik.


    Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa penganjuran rumah terbuka dapat mendatangkan kemaslahatan kepada negara dan masyarakat. Lantaran itu, semua pihak perlu menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mempergiatkan amalan rumah terbuka di negara kita. Misalnya, pihak kerajaan perlu sentiasa memperuntukkan dana untuk menganjurkan rumah terbuka. Selanjutnya, ibu bapa perlu acap kali membawa anak ke rumah terbuka. Hal ini dapat memastikan negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. 



504 patah perkataan



Markah - disemak Cikgu OKH
58/70

Ulasan