Usaha-usaha memajukan sektor pelancongan di Malaysia


Kuala Lumpur pada waktu malam

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menjelaskan bahawa Malaysia mencatatkan peningkatan pendapatan pelancongan sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.14 billion manakala jumlah ketibaan pelancong pula meningkat 1.0 peratus kepada 26.1 billion pada 2019 daripada angka tahun sebelumnya.

(Dipetik dan diubah daripada "Sektor Pelancongan Sumbang RM86.14 Billion kepada Ekonomi Malaysia  2019")


Petikan di atas menunjukkan bahawa bidang pelancongan di negara kita turut menjana ekonomi negara. Bidang pelancongan turut menyumbang pendapatan yang agak tinggi dan sudah semestinya beberapa usaha mesti dilakukan agar bidang ini memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dari setahun ke setahun.

Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Panjangnya karangan anda hendaklah antara 350 hingga 500 patah perkataan.


Tema: Pelancongan
Kunci Soalan: Usaha-usaha memajukan sektor pelancongan di Malaysia


Sejajar dengan era globalisasi ini, sektor pelancongan di Malaysia semakin maju dari tahun ke tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana nusa tercinta ini diberkati oleh Tuhan dengan kekayaan alam semula jadi, keindahan flora dan fauna serta cuaca khatulistiwa. Selanjutnya, Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum turut memikat hati pelancong untuk melawat ke negara kita. Sektor pelancongan merupakan tonggak ekonomi negara kita yang terbesar selepas sektor perindustrian. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah memperuntukkan banyak dana bagi memajukan sektor pelancongan dengan harapan dapat menjana ekonomi negara kita. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk berbuat demikian, persoalan yang muncul di gawang minda saya ialah apakah usaha yang perlu dilakukan agar bidang ini memperoleh pendapat yang lebih tinggi dari tahun ke tahun?


Usaha perdana yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor tersebut ialah pihak kerajaan patutlah acap kali menganjurkan kempen yang berkaitan dengan sektor pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen tersebut dapat mempromosikan tempat-tempat pelancongan terkenal ke negara luar dan membolehkan pelancong mengenali negara kita dan berminat untuk melancong ke negara kita kerana tak kenal maka tak cinta. Contohnya, “Kempen Cuti-cuti Malaysia” yang dianjurkan oleh pihak kerajaan merupakan usaha yang terpuji. Pihak kerajaan haruslah memastikan kempen sebegini dianjurkan pada setiap tahun dan bukannya bagai melepaskan batuk di tangga. Tegasnya, sekiranya kempen sebegini sering diadakan, maka nama negara dapat dikenali oleh masyarakat di luar negara.


Selanjutnya, pihak kerajaan haruslah memperlengkap infrastruktur pelancongan di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana infrastruktur yang baik dapat memberikan keselesaan yang optimum kepada pelancong. Dalam hal ini, pengangkutan awam menjadi wadah utama pelancong untuk bergerak di negara kita. Oleh itu, pihak kerajaan boleh meningkatkan bilangan pengangkutan awam. Hal ini tentu dapat memudahkan pelancong untuk bergerak ke destinasi pelancongan. Bukan infrastruktur yang perlu dinaiktarafkan tetapi bangunan bersejarah juga perlu dibaik pulih agar tidak kelihatan usang. Dengan itu, pelancongan dapat menikmati keindahan di negara kita dengan hati yang gembira. Tuntasnya, infrastruktur yang lengkap di negara kita dapat menjamin pengalaman pelancong yang manis semasa melancong di negara kita.


Sementalahan, pihak kerajaan wajarlah memastikan keindahan tempat pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana alam sekitar yang kotor akan menjijikkan mata pelancong ketika melancong. Hal ini akan mencalar imej negara kita di mata dunia. Oleh hal yang demikian, kita yang digelar warganegara haruslah memikul peranan untuk memastikan kawasan persekitaran adalah bersih dan bebas daripada sebarang sampah. Sehubungan dengan itu, pelancong melawat ke negara dapat menikmati keindahan negara kita dan bukannya indah khabar daripada rupanya. Dengan itu, nama negara kita akan dititi dari bibir ke bibir oleh pelancong asing dan menarik hati lebih banyak pelancong ke negara kita. Tegasnya bahawa alam sekitar yang bersih memainkan peranan yang penting untuk menarik hati pelancong ke negara kita.


Intihanya, sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang menguntungkan negara kita dan dianggap sebagai tonggak ekonomi negara kita. Sekiranya sektor ini dimajukan dengan baik, maka negara kita dapat memperoleh keuntungan yang lebih lumayan. Selain itu, sektor tersebut turut membolehkan nama negara ditingkatkan di mata dunia. Oleh itu, semua pihak haruslah menjangkau sehabis tangan untuk memajukan sektor pelancongan. Hal ini supaya ekonomi negara dapat dijanakan dan seterusnya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.



(497 patah perkataan)


Markah - disemak oleh Cikgu TLC
60/70

Ulasan