Usaha-usaha Menggalakkan Raykat Tempatan Melancong dalam Negara


kuala lumpur pada waktu siang

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia akan memperhebat usaha bagi menggalakkan lebih banyak rakyat tempatan melancong dalam negara, sekali gus memacu pertumbuhan industri terbabit. Kementerian itu turut menyasarkan sebanyak 92.8 juta pelancong tempatan yang menyumbang sebanyak RM 76.9 billion kepada ekonomi negara tahun ini berbanding dengan 85.2 juta pelancong tempatan dengan sumbangan RM 68.5 billion pada tahun 2019.

Sumber: Bernama Online, 7 Mac 2020


Petikan akhbar di atas menyatakan bahawa aktiviti melancong di dalam negara dalam kalangan rakyat tempatan merupakan aktiviti yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara serta memacu perkembangan industri berkenaan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak rakyat tempatan melancong di dalam negara. 

Sehubungan dengan itu, anda dikehendaki menulis rencana bagi menggalakkan rakyat melancong di negara sendiri. 

Tajuk rencana tersebut ialah "Usaha-usaha Menggalakkan Raykat Tempatan Melancong dalam Negara". Tulis rencana tersebut dengan selengkapnya.


Tema: Pelancongan
Kunci Soalan: Usaha-usaha Menggalakkan Raykat Tempatan Melancong dalam Negara



Usaha-usaha Menggalakkan Raykat Tempatan Melancong dalam Negara
Oleh Muhammad Ali

  Zaman beralih, musim berubah. Tempat pelancongan di negara kita tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Malaysia memang sesuai untuk menjadi destinasi pelancongan kerana mempunyai musim Khatulistiwa dan dilimpahi tempat bersejarah. Di sebalik kemajuan sektor pelancongan di negara kita, terdapat satu lakaran suram iaitu menurut kajian pakar, rakyat Malaysia lebih suka melancong di luar negara berbanding dengan di negara sendiri. Bak kata peribahasa, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”. Persoalan yang berlegar di gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di negara sendiri?


Langkah perdana untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong di negara sendiri ialah pihak kerajaan patutlah menawarkan pakej melancong yang lebih murah khas kepada warganegara. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat Malaysia akan lebih berminat untuk melancong di Malaysia jika dapat melancong dalam kos yang rendah. Contohnya, pihak kerajaan boleh memberikan diskaun kepada warganegara yang melancong di destinasi pelancongan. Dengan ini, rakyat Malaysia dapat menjimatkan kos melancong dan berasa lebih sesuai untuk melancong di Malaysia berbanding dengan di luar negara. Tegasnya, pihak kerajaan patutlah memastikan warganegara menikmati diskaun dalam pakej pelancongan supaya rakyat Malaysia sudi melancong di negara sendiri.


Selanjutnya, pihak kerajaan perlulah menayangkan iklan tempat pelancongan yang wujud di Malaysia melalui media massa. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam era yang dilimpahi teknologi maklumat, rakyat akan mudah terpikat oleh iklan yang menunjukkan keindahan destinasi pelancong di negara kita. Apa-apa yang ditunjukkan bukanlah indah khabar daripada rupa. Contohnya, media massa boleh menyiarkan iklan yang menunjukkan keindahan Pulau Redang, haiwan liar di hutan dan keseronokan di Genting Highland. Rentetan dengan itu, rakyat Malaysia akan mempunyai rasa dan nafsu untuk melancong di negara sendiri. Tuntasnya, iklan boleh digunakan sebagai satu langkah yang ampuh untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong di negara sendiri.


Sementalahan, pihak kerajaan boleh memperuntukkan wang untuk mengadakan projek pembangunan taman negara dan tapak pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila terdapat banyak destinasi pelancongan yang baharu dan dilengkapi prasarana, rakyat Malaysia akan terpikat untuk melancong di destinasi-destinasi tersebut yang berlokasi di Malaysia. Contohnya, Taman Bertema Escape yang terletak di Pulau Pinang telah terbina sebuah gelongsor air yang terbesar di dunia. Hal ini telah menarik ramai pelancong di negara atau di luar negara untuk mengunjungi tapak pelancongan tersebut. Tegasnya, kewujudan tapak pelancongan yang baharu akan menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk mengunjung.


Sebagai penutup bicara, sektor pelancongan akan lebih maju sekiranya lebih ramai rakyat bercuti di Malaysia kerana dapat mengurangkan pengaliran mata wang ke luar negara. William Shakespeare pernah berkata, “jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum kita kecapi”. Lantaran itu, semua pihak seyogia bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di negara sendiri. Kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Sehubungan dengan itu, semua pihak haruslah menyokong kempen Cuti-cuti Malaysia yang dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk melancong di negara sendiri supaya sektor pelancongan negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.



(491 patah perkataan)



Markah - disemak Cikgu OKH
56/70

Ulasan