Usaha-usaha Ibu Bapa Mendorong Anak Membabitkan Diri Dalam Kegiatan Sukan dan Riadah
Ketagihan permainan video ialah tabiat permainan video dalam talian atau luar talian yang berlebihan sehingga menjejaskan kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal dalam aktiviti harian. Permainan video mempunyai ciri tertentu yang menarik sekali gus meningkatkan peluang seseorang untuk menjadi ketagih berbanding dengan permainan luar talian seperti aktiviti riadah. Peningkatan tabiat permainan video yang tidak terkawal dalam kalangan kanak-kanak juga amat membimbangkan ibu bapa.
(Sumber: Internet)
Petikan di atas memperkatakan isu anak-anak kurang melakukan aktiviti riadah dan lebih tertumpu kepada permainan berasaskan komputer. Senario tersebut menimbulkan pelbagai kesan kepada anak-anak.
Huraikan usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk mendorong anak-anak agar membabitkan diri dalam pelbagai kegiatan sukan dan riadah pada masa lapang.
Zaman beralih, musim berubah. Sejajar dengan era globalisasi yang dilimpahi teknologi maklumat, banyak inovasi teknologi dicipta untuk memenuhi keperluan manusia, termasuk permainan video yang dicipta untuk tujuan hiburan. Sayang seribu kali sayang, golongan generasi muda semakin ketagihan dalam permainan video sehingga mengabaikan kegiatan sukan dan riadah yang banyak dilakukan oleh masyarakat pada zaman Tuk Nadur berkajang kain. Hal ini memang menyayatkan hati ibu bapa kerana kesihatan anak mereka akan terjejas sekiranya anak mereka ketagihan dalam permainan video. Lantaran itu, ibu bapa seharusnya mencari pendekatan yang ampuh untuk mendorong anak mereka membabitkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah pada masa lapang.
Usaha perdana ibu bapa untuk mendorong anak mereka untuk melakukan kegiatan sukan dan riadah ialah ibu bapa perlu menampilkan ushwah hasanah yang baik kepada anak mereka kerana ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Contohnya, ibu bapa perlu acap kali membawa anak mereka untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah seperti bermain badminton, berjoging, dan berbasikal pada masa lapang. Sepanjang melakukan aktiviti sukan dan riadah, generasi muda boleh berkongsi masalah dengan ahli keluarga. Dengan itu, generasi muda bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan malah dapat mencergaskan badan. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Tegasnya, sikap bagai ketam mengajar anak berjalan betul harus dielakkan dalam mendorong anak melakukan aktiviti riadah.
Selanjutnya, ibu bapa juga perlu membelikan alat sukan sebagai hadiah kepada anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kegiatan sukan tidak akan diminati oleh anak tanpa alat sukan yang sempurna. Misalnya, ibu bapa boleh membelikan kasut sukan atau raket badminton kepada anak mereka sebagai hadiah. Dalam hal ini, ibu bapa haruslah mengelakkan diri daripada menghadiahi mereka permainan video yang boleh mengakibatkan mereka ketagihan dalam permainan tersebut sehingga tidak sudi untuk membabitkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah. Dengan itu, generasi muda akan lebih menikmati keseronokan aktiviti sukan dan riadah kerana mempunyai alat yang sempurna. Tuntasnya, penghadiahan alat sukan kepada anak akan memikat hati mereka terhadap kegiatan sukan dan riadah.
Semetalahan, ibu bapa juga hendaklah acap kali membelikan majalah sukan yang diminati oleh anak mereka. Hal ini demikian kerana mereka akan lebih berminat untuk melibatkan diri dalam sukan jika mereka mendapat maklumat terkini tentang perkembangan sukan melalui majalah sukan tersebut. Contohnya, ibu bapa boleh melanggan Majalah Dunia Sukan untuk anak mereka membaca. Majalah sukan akan menghidangkan pengalaman dan pencapaian ahli sukan yang terkenal di Malaysia seperti Dato Lee Chong Wei. Hal ini dapat memberikan suntikan dorongan kepada mereka untuk menjadikan ahli sukan yang tersohor sebagai contoh dan sekali gus lebih bergiat aktif dalam aktiviti sukan. Tegasnya, majalah sukan boleh dijadikan oleh ibu bapa sebagai wadah untuk mendorong anak mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan riadah.
Intihanya, kegiatan sukan dan riadah banyak mendatangkan kemaslahatan kepada generasi muda. Bak kata peribahasa, “pemuda bangsa negara, pemudi tiang negara”. Generasi muda merupakan aset negara yang tidak ternilai dan bakal menjadi pemimpin yang bakal menerajui tonggak kepemimpinan negara kita. Lantaran itu, semua pihak haruslah bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan anak muda untuk melakukan kegiatan sukan dan riadah kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu menaiktarafkan prasarana sukan dalam taman supaya boleh digunakan oleh masyarakat. Dengan itu, golongan generasi muda yang sihat dari segi jasmani dan rohani akan dilahirkan dan negara kita akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.
504 patah perkataan
Ulasan
Catat Ulasan