Sebab-sebab Permainan Tradisional di Malaysia Perlu Dipertahankan dan Dimartabatkan


gasing pandangan dekat


NEGARA kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Permainan tradisional seperti congkak, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, tarik upih dan konda-konde diamalkan masyarakat dahulu sebagai pengisi masa lapang. Sayangnya permainan tradisional yang menunjukkan kebudayaan sesuatu tempat itu mula sedikit demi sedikit terpinggir apabila kebanyakan daripada permainan berkenaan kurang diketahui golongan muda.

Malah permainan tradisional semakin dilupakan kerana perkembangan pesat teknologi gajet dan penambahan aplikasi permainan secara maya.

(Sumber: Internet)


Petikan di atas menyatakan maklumat berkaitan dengan permainan tradisional di Malaysia. Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional agar tidak terus ditelan arus pembangunan. 

Jelaskan sebab-sebab permainan tradisional di Malaysia perlu dipertahankan dan dimartabatkan oleh setiap individu.


Tema: Permainan tradisional
Kunci Soalan: Sebab-sebab permainan tradisional di Malaysia perlu dipertahankan dan dimartabatkan



Negara kita telah kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional daripada pelbagai kaum di negara kita. Contoh permainan tradisional di Malaysia termasuklah gasing, congkak, tarik upih dan sebagainya. Sejajar dengan era globalisasi ini, permainan tradisional yang pernah menjadi kegemaran masyarakat pada zaman Tuk Nadur berkajang kain semakin dipinggirkan. Kalau kita renungi sejenak, akan kita dapati bahawa permainan elektronik telah semakin mengambil alih permainan tradisional. Hal ini telah menyebabkan permainan tradisional semakin luput ditelan zaman. Lantaran itu, pihak kerajaan telah mengimplementasikan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan permainan tradisional. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk mempertahankan permainan tradisional, persoalan yang muncul di gawang minda saya ialah apakah sebab-sebab kita perlu mempertahankan permainan tradisional?


Sebab perdana permainan tradisional perlu kita pertahankan ialah permainan tradisional merupakan warisan nenek moyang yang melambangkan kebudayaan, adat dan tradisi di negara kita. Permainan tradisional bukan sahaja mempunyai nilai kebudayaan yang tidak ternilai harganya, tetapi mempunyai keunikan yang tersendiri. Misalnya, wau yang diperbuat daripada kertas dan ranting kayu dihiasi dengan pelbagai corak yang berwarna-warni. Corak tersebut mempunyai nilai estetika yang tinggi dan memaparkan kebudayaan masyarakat lalu. Dalam hal ini, kita tidak seharusnya bersikap bagai kacang lupakan kulit dan perlu berusaha untuk mempertahankan permainan tradisional. Dengan itu, generasi muda berpeluang untuk didedahkan dengan kesenorokan permainan tradisional. Sekiranya permainan tradisional telah luput,  sedikit banyak telah mencerminkan betapa rapuhnya identiti sesuatu kaum. Oleh itu, ingatlah peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Tegasnya, permainan tradisional perlu dipertahankan untuk tatapan generasi yang akan datang.


Selanjutnya, permainan tradisional juga  mampu menggamit pelancong untuk datang ke negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana tujuan pelancong asing yang melawat ke negara kita adalah untuk mengenali budaya tempatan kita  kerana jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam hal tersebut, pelancong akan tertarik oleh permainan tradisional negara kita yang unik dan cenderung untuk mencuba permainan tersebut kerana tak kenal maka tak cinta. Hal ini tentu akan menjana ekonomi negara kita ekoran daripada peningkatan pengaliran wang asing ke negara kita. Dengan itu, apabila mereka balik ke negara asal mereka, mereka akan menceritakan pengalaman mereka kepada ahli  keluarga mahupun rakan mereka. Hal ini tentu dapat mempopularkan nama negara kita di persada dunia. Pelabur di luar negara juga akan yakin akan negara kita dan melabur dalam negara kita. Izharnya, permainan tradisional dapat merancakkan ekonomi di negara kita.


Sementalahan, permainan tradisional perlu dipertahankan kerana dapat menjamin perpaduan kaum di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan tradisional boleh dijalankan secara beramai-ramai ataupun berpasukan. Sepanjang dengan pelaksanaan permainan tradisional, pemain dapat berkongsi pendapat antara satu sama lain. Sekiranya pemain terdiri daripada beraneka kaum, maka sudah tentu mereka berpeluang mengenali adat resam atau pantang larang kaum lain. Tidak hairanlah dapat mewujudkan suasana yang muhibah. Dengan itu, rusuhan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 dapat dielakkan  agar pisang tidak akan berbuah dua kali. Sudah terang lagi bersuluh bahawa permainan tradisional telah menyediakan satu medan untuk berkongsi pendapat dan mengelakkan sebatang prejudis. Dengan itu, “Gagasan Keluarga Malaysia” yang diuar-uarkan oleh perdana menteri kesembilan, Ismail Sabri dapat dicapai.


Bayang kian jelas, bulan kian terang bahawa permainan tradisional bukan sahaja merupakan warisan nenek moyang, mahupun dapat memberikan kemaslahatan kepada negara kita. Lantaran itu, semua pihak perlu menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk mempertahankan permainan tradisional di negara kita. Tamsilnya, pihak kerajaan boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional di peringkat kebangsaan dan menyediakan hadiah lumayan kepada pemenang. Sekiranya, semua pihak mengambil inisiatif untuk mempertahankan permainan tradisional, sudah tentu permainan tradisional akan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


(505 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu TLC
61/70


Ulasan