Langkah-langkah Menguruskan Sisa Elektronik


timbunan sampah


Sisa elektronik ialah komponen elektronik yang telah usang atau tidak diperlukan oleh penggunaanya. Sisa elektronik mengandungi bahan kimia berbahaya seperti asid, pelarut, raksa, dan plumbum. Bahan kimia ini mengancam kesihatan manusia dalam jangka masa pendek dan panjang. Di Malaysia, sisa elektronik dikatergorikan sebagai sisa terjadual dalam Jadual Pertama Kod SW110 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] Bungan Terjadual (2005). Sisa ini dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual kerana mempunyai ciri-ciri kebolehnyalaan, menghakis, bertindak balas, dan bertoksik

(Sumber: Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Jabatan Alam Sekitar Malaysia)

Sisa elektronik telah mencemarkan bumi tercinta.
Jelaskan langkah-langkah untuk menguruskan sisa elektronik


Tema: Sisa Elektronik
Kunci Soalan: Langkah-langkah menguruskan sisa elektronik


  Zaman beralih, musim berubah. Zaman ini semakin dilimpahi dengan inovasi dalam bidang elektronik, pelbagai elektronik yang berfungsi canggih dicipta untuk memenuhi keperluan manusia. Sayang seribu kali sayang, terdapat satu lakaran suram di sebalik kemajuan sains dan teknologi, iaitu jumlah pembuangan sisa elektronik yang usang dan tidak boleh digunakan semakin meningkat tanpa titik noktahnya pada setiap saban tahun. Perkara ini telah menjadi mauduk bicara masyarakat dan telah menyayat hati masyarakat kerana telah mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Sesungguhnya, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lumrah yang tak dapat dituruni. Sebelum kudis menjadi tokak, pelbagai langkah yang pragmatik dan drastik harus diimplementasikan untuk menguruskan sisa elektronik.


Antara usaha untuk menguruskan sisa elektronik adalah dengan mengamalkan amalan kitar semula dalam kehidupan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana sisa elektronik mengandungi pelbagai komponen yang boleh dikitar semula seperti logam emas dan plastik. Contohnya, kita boleh membawa telefon pintar atau peranti komputer ke pusat pengumpulan barang sisa elektronik untuk dikitar semula. Kita bukan sahaja dapat menguruskan sisa elektronik, malahan dapat menjana pendapatan. Hal ini memang bertepatan dengan peribahasa serampang dua mata. Dengan itu, hal ini dapat mengurangkan jumlah sisa elektronik yang dibuang. Tegasnya, setiap rakyat patutlah mempraktikkan amalan kitar semula supaya dapat menguruskan sisa elektronik.


Selanjutnya, pihak sekolah patutlah menambahkan ilmu pembaikan barang elektronik dalam sukatan pelajaran mata pelajaran Reka Bentuk. Hal ini dikatakan demikian kerana dapat melahirkan pakar teknikal dalam bidang pembaikan peranti elektronik. Misalnya, murid dapat membaiki barang elektronik yang telah rosak sendiri jika dilengkapi dengan ilmu tersebut. Dengan itu, murid dapat menjimatkan wang perbelanjaan kerana tidak perlu membeli peranti elektronik yang baharu untuk menggantikan peranti elektronik yang rosak. Hal ini sekai gus dapat membantu dalam pengurusan sisa elektronik kerana peranti elektronik dapat terus digunakan dan tidak perlu dibuang. Tuntasnya, jika murid didedahkan dengan  ilmu pembaikan peranti elektronik, sudah tentu dapat memulihkan barang elektronik yang rosak tanpa perlu membeli peranti yang baharu.


Sementalahan, pihak kerajaan wajarlah menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan pembuangan sisa elektronik. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia masih mempunyai undang-undang yang longgar dalam pembuangan sisa elektronik. Dalam hal ini, jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar patutlah menguatkuasakan undang-undang dengan memandatorikan rakyat untuk melakukan pembahagian sisa harian dengan sisa elektronik supaya dapat memudahkan pengutip sampah untuk membawa barang sisa elektronik ke pusat pelupusan khas untuk sisa elektronik. Sesiapa yang tidak berbuat demikian akan dikenakan hukuman dan denda. Dengan itu, rakyat akan berasa takut dan akan menguruskan sisa elektronik dengan baik. Pendek kata, undang-undang yang dikuatkuasakan dapat menggalakkan rakyat untuk menguruskan sisa elektronik. 


Intihanya, kemelut peningkatan jumlah pembuangan sisa elektronik patutlah dirungkai sehingga ke akar umbinya. Dalam hal ini, semua pihak patutlah bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menguruskan sisa elektronik dengan baik. Kata William Shakespeare, “Jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum kita kecapi” patutlah dijadikan sebagai pegangan dalam usaha menguruskan sisa elektronik supaya pelbagai langkah yang dijalankan sebelum ini tidak akan umpama mencurahkan air ke daun keladi. Dengan itu, jumlah sisa elektronik di negara kita akan menjadi kurang dan negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. 



(493 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu OKH
58/70

Ulasan