Kepentingan Pemuliharaan dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah

Stadthuys di Melaka


 “Beta mahu usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah yang berkaitan dengan negeri itu diperhebat. Beta bimbang jika bangunan dan monumen tersebut tidak dipulihara secepat mungkin serta terbiar, tinggalan sejarah itu akan runtuh atau rosak sehingga tidak dapat diselamatkan lagi. Kebanyakan bangunan seumpama itu memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi serta masih menjadi destinasi pelancongan tumpuan di ibu negara. Pihak yang berkenaan seperti Jabatan Warisan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan pemuliharaan serta pemeliharaan lebih intensif terhadap bangungan-bangunan bersejarah tersebut.”

(Dipetik daripada ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sinar Harian, 31 Januari 2021)


Kandungan ucapan di atas menerangkan bahawa bangunan bersejarah di negara ini perlu dipulihara dan dipelihara kerana banyak kepentingannya terhadap masyarakat amnya dan negara khasnya.

Andaikan anda salah seorang daripada peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda ialah “Kepentingan Pemuliharaan dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah”. Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.


Tema: Bangunan Bersejarah
Kunci Soalan: Kepentingan Pemuliharaan dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah


Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pengetua yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, barisan panel yang arif lagi bijaksana dan rakan-rakan sekalian. Saya bernama Muhammad Ali dari kelas 5SK1. Pada hari ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Kepentingan Pemuliharaan dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah”.


Hadirin yang dihormati,


Zaman beralih, musim berubah. Sejajar dengan era moden ini, roda pembangunan di negara kita berkembang dengan pesat bagai lipas kudung. Sayang seribu kali sayang, terdapat satu lakaran suram di sebalik pembangunan pesat di negara kita, iaitu bangunan bersejarah yang telah wujud di Malaysia sejak zaman Tuk Nadur berkajang kain semakin dipinggirkan dan kelihatan usang. Hal ini telah menyayatkan hati pihak kerajaan dan raja negara kita kerana bangunan bersejarah merupakan warisan nenek moyang kita dan tidak ternilai harganya. Lantaran itu, pihak kerajaan telah mengimplementasikan pelbagai inisiatif untuk memulihara dan memelihara bangunan bersejarah. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk menjaga keaslian bangunan bersejarah, persoalan yang muncul dalam gawang minda saya ialah apakah kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah?


Kepentingan perdana ialah bangunan bersejarah mempunyai nilai kajian yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana bangunan bersejarah boleh membekalkan sumber maklumat sejarah sesuatu tempat. Misalnya, Stadthuys boleh menjadi bukti kukuh bahawa negeri Melaka pernah dijajah oleh pihak Belanda. Selain itu, bangunan A famosa turut membuktikan Melaka pernah dijajah oleh pihak Portugis. Hal ini banyak membantu para sejarawan untuk menyunting rekod kronologi sejarah Kesultanan Melayu Melaka dengan betul.  Tanpa bangunan sejarah, kajian tentang sejarah di negara kita sukar dibuktikan. Natijahnya, kita akan hilang dan tidak mengetahui peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku di negara kita. Tegasnya, bangunan sejarah merupakan sumber bekalan maklumat dengan bukti yang kukuh dan sahih kepada para sejarawan.


Selanjutnya, bangunan bersejarah turut dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam sanubari masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana bangunan bersejarah yang ditinggalkan boleh mengingati masyarakat tentang perjuangan nasionalis dalam mempertahankan kedaulatan negara kita. Contohnya, kota A Famosa memaparkan penjajahan Portugis di Melaka manakala kota Cornwallis memaparkan penjajahan British di Pulau Pinang. Hal ini boleh menyedarkan masyarakat tentang kepentingan mempertahankan kedaulatan negara kita di samping membangkitkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Dengan itu, masyarakat akan memegang prinsip “biar putih tulang, jangan putih mata” dalam memperjuang kedaulatan negara pada setiap saat genting. Tuntasnya, bangunan bersejarah merupakan wadah yang mampu memupuk patriotisme dalam kalangan masyarakat.


Hadirin yang dikasihi,


Sementalahan, bangunan bersejarah turut banyak mendatangkan manfaat kepada sektor pelancongan. Hal ini dikatakan demikian kerana bangunan bersejarah yang mempunyai nilai estetika unik bakal menjadi destinasi pelancongan di negara kita. Contohnya, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni bina yang tiada tolok bandingnya. Ramai pelancong dari luar negara terpesona oleh bangunan tersebut yang bukan sahaja mempunyai nilai yang berharga dari segi keunikan unsur seni bina, malahan dari segi nilai sejarah bangunan tersebut. Dengan itu, nama baik negara kita akan ditingkatkan di mata dunia. Selain itu, perkunjungan pelancong di negara kita turut membantu dalam menjana ekonomi negara kita. Hal ini memang bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Tegasnya, bangunan bersejarah mampu dijadikan sebagai destinasi pelancongan di Malaysia.


Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa bangunan bersejarah banyak mendatangkan kepentingan kepada negara kita. Lantaran itu, semua pihak haruslah bersinergi bagai aur dengan tebing dalam memulihara dan memelihara bangunan bersejarah sebelum kudis menjadi tokak. Ingatlah pesanan William Shakespeare iaitu, “jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dicapai”. Dalam hal ini, Pihak yang berkenaan seperti Jabatan Warisan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memperuntukkan wang membaiki kerosakan bangunan-bangunan tersebut supaya tidak kelihatan usang. Dengan itu, bangunan bersejarah di Malaysia dapat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


Sekian terima kasih.


(518 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu OKH
55/70

Ulasan