Kelebihan dan Kekurangan Penggunaan Dompet Maya kepada Masyarakat


Bayar melalui telefon pintar


Populariti e-Wallet semakin meningkat di Malaysia setelah Bank Negara mengeluarkan lebih 40 lesen e-Wallet kepada bank dan syarikat kewangan bukan bank. Untuk melangkah maju ke arah “Cashless Society”, setiap kedai, restoran, pusat membeli-belah malah gerai juga kini mempunyai pilihan untuk melakukan transaksi menggunakan e-Wallet.

Petikan di atas menunjukkan bahawa penggunaan dompet maya atau e-wallet semakin meningkat di negara kita.

Jelaskan kelebihan dan kekurangan penggunaan dompet maya kepada masyarakat.


Tema: Dompet Maya
Kunci Soalan: Kelebihan dan Kekurangan Penggunaan Dompet Maya kepada Masyarakat


  Zaman beralih, musim berubah. Pada era globalisasi ini, dunia ini semakin dilimpahi dengan teknologi maklumat. Dengan teknologi maklumat, setiap informasi dapat dicapai di hujung jari. Sejajar dengan era teknologi maklumat, perbincangan tentang perancangan dompet maya sering dimomokkan oleh lapisan masyarakat dan diperhebatkan oleh pihak kerajaan. Tidak dapat dinafikan bahawa dompet maya telah menyenangkan kehidupan masyarakat. Antara aplikasi khas untuk dompet maya termasuklah GrabPay, Boost dan Touch N Go. Memandangkan dompet maya sudah menjadi satu trend di dunia ini, persoalan yang muncul di gawang minda saya ialah apakah kelebihan dan kekurangan dompet maya?


Kelebihan perdana dompet maya ialah dapat mengurangkan jumlah wang tunai yang perlu dibawa ke luar rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana wang tunai akan disimpan dalam telefon pintar dan sebarang transaksi wang dapat dibuat dengan aplikasi dompet maya dengan mudah. Contohnya, kita hanya perlu mengimbas kod QR untuk membuat transaksi wang kepada penjual. Dengan itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan risiko wang dicuri malahan dapat mengelakkan diri lupa membawa wang ke luar rumah. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Hal ini sudah tentu dapat meningkatkan kualiti kehidupan kita. Tegasnya, dompet maya menyenangkan kehidupan kita.


Selanjutnya, dompet maya juga dapat menjadikan transaksi wang lebih pantas. Hal ini dikatakan demikian kerana langkah pembayaran wang dengan dompet maya adalah cepat. Contohnya, setiap bayaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR untuk membuat transaksi wang dan penjual tidak perlu membayar balik wang tunai yang lebih. Selain itu, aplikasi dompet maya dapat menyimpan segala rekod perbelanjaan dan pembeli tidak perlu menyimpan resit. Dengan itu, banyak masa dapat dijimatkan dan pelanggan tidak perlu beratur panjang untuk mengeluarkan wang. Penjual juga dapat menjual lebih banyak barang. Tuntasnya, dompet maya telah membantu kita menjimatkan masa dan masa tersebut dapat kita gunakan untuk melakukan aktiviti lain dan selaras dengan peribahasa “Masa itu emas”.


Bak kata peribahasa,"tiada gading yang tak retak". Bukan setiap perkara ada kebaikan semata-mata, tentulah ada kekurangan di sebalik kelebihannya. Antara kekurangan dompet maya ialah dompet maya sukar digunakkan jika talian Internet kurang stabil atau tidak laju. Hal ini dikatakan demikian kerana transaksi kewangan dompet maya tidak boleh dilakukan tanpa capaian Internet. Contohnya, transaksi tidak dapat dilakukan jika  sesuatu premis perniagaan tidak membekalkan talian Internet yang pantas. Rentetan dengan itu, kita akan terpaksa untuk membeli talian Internet dari Celcom atau Maxis supaya dapat menggunakan dompet maya. Hal ini sudah tentu akan meningkatkan wang perbelanjaan kita. Tegasnya, dompet maya hanya boleh digunakan jika mempunyai capaian Internet yang laju.


Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa dompet maya mempunyai kelebihan dan kelemahan. Namun begitu, dompet maya dapat menaiktarafkan dan menyenangkan kehidupan masyarakat. Oleh itu, semua pihak patutlah menjangkau sehabis tangan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memartabatkan dompet maya. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu memperuntukkan wang yang mencukupi untuk menambahbaikkan rangkaian internet supaya dompet maya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Dengan itu, nusa tercinta ini dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.



(485 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu TLC
60/70

Ulasan