Isu Kebersihan Kawasan Persekitaran di Negara Kita (Karangan Respson Terhad)


gunung yang hijau


Bahan Dialog

Ketika Ali, Ah Beng, dan Shaman berjalan-jalan di taman perumahan, mereka ternampak sebuah bangunan terbengkalai.

Ali: Semalam, saya ternampaka seekor ular berhampiran dengan bangunan terbengkalai itu.

Ah Beng: Bahaya, Ali. Di situ juga ada banyak tikus. Mungkin lipas, lipan, dan kala jengking pun ada. Nyakmuk pastilah banyak.

Shaman: Eeii... takutlah saya, Ali, Ah Beng! Saya juga bimbang akan keselamatan dan kesihatan penduduk kampung.

Ali: Baik kita laporkan hal ini kepada ketua kampung. Bolehlah beliau menghubungi pihak yang berkenaan untuk bertindak.

Ah Beng: Setuju. Keadaan seperti ini tidak boleh kita biarkan. Pemilik bangunan terbengkalai itu juga mesti diberitahu tentang hal ini.

Shaman: Kita mesti bertindak segera. Sukar untuk kita atasi masalah ini kalau keadaan bertambah teruk, bak kata pepatah, belukar sudah menjadi rimba.

Ali: Haiwan seperti tikus membawa pelbagai penyakit seperti cirit-birit, leptospirosis, dan hawar.

Ah Beng: Bahaya sungguh, Ali. Saya sependapat dengan Shaman. Kita mesti mengambil tindakan secepat mungkin, jangan sudah terhantuk baru tengadah.

Shaman: Memang Bahaya. Kelawar pun banyak di situ. Saya pernah terbaca najis kelawar yang terkumpul akan menghasilkan sejenis kulat yang boleh mendatangkan masalah pernafasan kepada mereka yang menyedutnya. masalah akan bertambah teruk jika ada antara penduduk kampung yang mempunyai penyakit alahan seperti lelah, resdung, dan penyakit kulit.

Ali: Kalau begitu, usah bertangguh lagi. Ayuh, kita ke rumah ketua kampung sekarang!


Huraikan pendapat anda tentang isu kebersihan kawasan persekitaran di negara kita. Panjangnya huraian hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.


    Dasawarsa ini, isu kebersihan kawasan persekitaran semakin serius dan meruncing. Hal ini membimbangkan semua lapisan masyarakat kerana kawasan persekitaran yang kotor akan menjejaskan keselesaan dan kualiti hidup manusia. Oleh itu, kebersihan kawasan persekitaran adalah penting dan pelbagai langkah perlu diambil untuk menjamin kebersihan kawasan persekitaran.


Kepentingan perdana kebersihan kawasan persekitaran ialah kesihatan masyarakat terjamin. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan persekitaran yang kotor kemungkinan besar akan menjadi tempat pembiakan haiwan pembawa penyakit. Haiwan-haiwan tersebut membawa pelbagai penyakit yang boleh dijangkiti oleh masyarakat dan memudaratkan kesihatan mereka. Tegasnya, sesebuah kawasan yang bersih dapat mengelakkan penularan haiwan pembawa penyakit.


Kita boleh merancang beberapa pendekatan yang ampuh untuk membersihkan kawasan persekitaran. Cara perdana yang boleh kita laksanakan ialah, kita perlu menghubungi pihak berkuasa tentang kawasan atau tapak yang ditimbuni sampah sarap. Selepas membuat laporan kepada pihak berkuasa, mereka akan memikul tanggungjawab mereka untuk membersihkan kawasan tersebut. Dengan itu, masyarakat mempunyai kawasan tempatan yang selesa. Tuntasnya, laporan hendak dibuat dengan secepat mungkin sekiranya ternampak timbunan sampah.


Akhirulkalamnya, keadaan kawasan persekitaran mencerminkan imej negara kita sama ada baik atau buruk. Lantaran itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani masalah pencemaran kawasan persekitaran. Dengan itu, masyarakat dapat menikmati suasana kehidupan lebih selesa.



197 patah perkataan



Markah - disemak oleh Cikgu TLC
25/30

Ulasan