Faedah-faedah Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah


Buku teks Sejarah Tingkatan 5

Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukan lagi suatu  mata pelajaran yang asing kepada murid-murid. Sejak sekolah rendah, mereka sudah mempelajari mata pelajaran ini. Tambahan pula, mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus bagi semua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mulai 2013. Walau bagaimanapun, terdapat murid yang beranggapan bahawa Sejarah merupakan suatu mata pelajaran yang susah dan membosankan sedangkan banyak faedah yang dapat diperoleh melalui mata pelajaran ini.

(Dipetik daripada buku teks tingkatan 4, halaman 107, Kementerian Pendidikan Malaysia.)


Petikan di atas menerangkan tentang mata pelajaran Sejarah.

Anda telah diminta oleh guru kelas anda untuk menulis sebuah rencana untuk disiarkan di dalam majalah sekolah anda. Tajuk rencana anda ialah "faedah-faedah mempelajari mata pelajaran Sejarah" 

Tulis rencana anda itu selengkapnya.


Tema: Sejarah
Kunci Soalan: Faedah-faedah Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah



Faedah-faedah Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah
oleh Muhammad Ali

Zaman beralih, musim berubah. Sejajar dengan era globalisasi ini, generasi muda semakin tidak menitikberatkan mata pelajaran Sejarah. Hal ini telah menjadi buah mulut masyarakat dan menggusarkan hati masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda merupakan aset negara yang bakal menjadi pemimpin yang menerajui tonggak kepemimpinan negara. Bak kata peribahasa, “pemuda harapan bangasa, pemudi tiang negara”. Sejak tahun 2013, mata pelajaran Sejarah diwajibkan lulus oleh semua calon SPM. Pihak kerajaan berbuat demikian untuk melahirkan generasi muda yang peka terhadap sejarah negara kita. Memandangkan kesungguhan pihak kerajaan untuk menggalakkan pembelajaran mata pelajaran Sejarah, persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah faedah mempelajari mata pelajaran Sejarah?


Kemaslahatan perdana mempelajari mata pelajaran Sejarah adalah dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai semangat patriotik yang kental. Hal ini dikatakan demikian kerana mata pelajaran Sejarah banyak mengisahkan dan menghidangkan perkara yang berkaitan dengan perjuangan tokoh-tokoh yang lalu. Contohnya, sumbangan Tunku Abdul Rahman yang berusaha memperjuang kemerdekaan negara kita akan menyemarakkan semangat cinta akan negara dalam jiwa generasi muda. Hal ini boleh menjadi inspirasi dan ilham generasi muda untuk meneruskan semangat perjuangan beliau. Dengan itu, generasi muda yang mempunyai semangat patriotik yang kental akan sentiasa bersiap siaga untuk memperjuang kedaulatan negara kita pada saat genting kerana ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Tegasnya, mata pelajaran Sejarah mampu menyemarakkan semangat patriotik dalam sanubari generasi muda.


Selanjutnya, mata pelajaran Sejarah turut membolehkan kita mengambil iktibar  daripada peristiwa yang lalu. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli falsafah terkenal, George Santayana pernah berkata, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya”. Misalnya, negara kita pernah dijajah oleh pihak British. Sikap tidak berwaspada terhadap kuasa asing oleh raja-raja melayu pada masa lalu telah mengakibatkan campur tangan pihak British untuk memanipulasi keadaan yang berlaku di negara kita. Perkara tersebut telah menasihati kita tentang kepentingan sentiasa peka terhadap kuasa asing untuk mempertahankan kedaulatan negara. Dengan itu, kita tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Tegasnya, mata pelajaran Sejarah memastikan pisang tidak berbuah dua kali jika kita mendapat iktibar daripada peristiwa lampau.

     Sementalahan, mata pelajaran Sejarah turut menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana mata pelajaran Sejarah banyak mengutamakan elemen perpaduan dalam sukatan pelajarannya. Misalnya, terdapat satu lakaran m suram di sebalik sejarah negara kita iaitu peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah menimbulkan keresahan antara kaum. Natijahnya, banyak nyawa diragut dan banyak harta benda dirosakkan. Hal ini telah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan perpaduan dalam menjamin keharmonian negara kita. Dengan itu, rakyat Malaysia akan melupakan sebarang prasangka terhadap kaum lain dan sekali gus memegang prinsip “ambil yang jernih, buang yang keruh”. Tuntasnya, mata pelajaran Sejarah boleh digunakan sebagai wadah menjamin hubungan silaturahim antara kaum di negara kita.


       Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa mata pelajaran Sejarah banyak mendatangkan faedah kepada  rakyat Malaysia. Lantaran itu, semua pihak patutlah bersinergi bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan generasi muda untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah. Hal ini dikatakan demikian kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. William Shakespeare pernah berkata, “Jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dicapai”. Rentetan dengan itu, pihak sekolah patutlah mengubah pendekatan cara mengajar mata pelajaran Sejarah agar dapat memikat hati murid untuk belajar Sejarah. Dengan itu, generasi muda yang berminda kelas pertama dan menitikberatkan sejarah negara kita akan dilahirkan agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.


(505 patah perkataan)


Markah - disemak Cikgu TLC
68/70

Ulasan