Cara-cara Mencegah Penularan Pandemik COVID-19 (Karangan Respson Terhad)


Bahan 1

PANTUN COVID-19


Mencari lokan di tepi tambak.

Dapat setimbun sebesar lengan;

Untuk elakkan virus merebak,

Gunakan sabun cucilah tangan.


Kembang perlahan ekor si merak,

Berwarna-warni menyerikan hutan;

Patuh arahan bataskan jarak,

Terhindar kita daripada jangkitan.


Kayu dibelah tak sudah-sudah

Kapaknya tumpul tangan pun sakit;

Jangan berkelah, jangan riadah,

Kalau berkumpul boleh terjangkit.


Ibnu Bin Assingkiri


Bahan 2

CEGAH COVID-19: AMALKAN NORMA BAHARU

#KitaTeguhKitaMenang


  • kerap membasuh tangan
  • Penjarakan sosial
  • Guna pelitup muka


ELAKKAN 3S

  • Sesak - tempat yang sesak
  • Sempit - tempat sempit dan tertutup
  • Sembang Dekat - bersembang dekat-dekat


Maklumat di atas berkaitan dengan pandemik COVID-19. 

Huraikan pendapat anda tentang penularan pandemik COVID-19. Panjangnya huraian hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.


Pandemik COVID-19 telah melanda negara kita dan seolah-olahnya tiada noktahnya. Pandemik COVID-19 yang datang seperti ribut, pergi seperti semut itu telah menjejaskan kesihatan dan kehidupan harian masyarakat. Lantaran itu, kita patut mengamalkan amalan norma baharu, iaitu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah penyakit COVID-19.


Amalan norma baharu yang patut kita amalkan ialah kita wajarlah kerap membasuh tangan sama ada sebelum makan atau selepas makan. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak virus dan bakteria pada tangan kita. Contohnya, kita boleh mencuci tangan dengan sabun untuk membasmikan bakteria yang ada pada tangan kita. Tegasnya, amalan mencuci tangan mampu mengelakkan COVID-19 merebak.


Selanjutnya, kita wajar mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan tempat yang sesak serta sempit. Kita juga tidak harus bersembang dekat-dekat. Hal ini dikatakan demikian kerana kalau berkumpul, COVID-19 mudah merebak melalui titisan air. Misalnya, kita tidak digalakkan melakukan aktiviti riadah seperti berkelah di luar rumah. Tuntasnya, penjarakan sosial mampu menghindarkan kita daripada jangkitan COVID-19.


Intihanya, pandemik COVID-19 telah banyak meragut nyawa masyarakat. Lantaran itu, kita patutlah mematuhi SOP untuk mencegah pandemik tersebut. Pakailah pelitup muka ketika berada di mana-mana tempat. Kita teguh, kita memang. Semoga rantaian kes COVID-19 dapat dirungkai supaya kehidupan harian masyarakat akan dipulihkan seperti biasa. 


196 patah perkataan


Markah - disemak Cikgu OKH
25/30

Ulasan