Cara-cara menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan menabung


Catatan Penulis* : 

Karangan ini ditulis sepanjang tahun 2021, iaitu tahun yang mempunyai penularan wabak penyakit COVID-19. Terdapat beberapa fakta yang berkaitan dengannya ditulis untuk menunjukkan kematangan. Walau bagaimanapun, isi-isi karangan masih boleh diguna.


wang siling yang banyak


Kebanyakan rakyat Malaysia tiada simpanan langsung! Mengikut laporan 2017 dari Institut Khazanah, Malaysia mempunyai kadar simpanan terendah di dunia.

(Sumber: AIA.com.my)

Amalan menabung harus dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ramai yang mengetahui kelebihan menyimpan wang, tetapi tidak ramai yang menjadikannya sebagai budaya hidup.

Anda bercadang untuk menulis sebuah rencana dalam sebuah majalah berkaitan dengan usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya menabung. Tulis rencana tersebut selengkapnya.


Tema: Amalan menabung
Kunci Soalan: Cara-cara menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan menabung



Cara-cara Menggalakkan Masyarakat Mengamalkan Amalan Menabung
Oleh Muhammad Ali

  Zaman beralih, musim berubah. Dunia ini semakin sarat dengan pelbagai onak dan duri yang semakin mencabar. Misalnya, wabak penyakit COVID-19 yang melanda negara kita telah mengakibatkan kegawatan ekonomi negara kita. Masyarakat turut menerima tempiasnya apabila berjuta-juta orang terpaksa mengalami pengangguran dan banyak syarikat yang gulung tikar.  Dalam hal ini, wang tabungan menjadi satu wadah yang penting untuk kita meneruskan kehidupan kita jika menghadapi masalah pengangguran. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya amalan menabung dalam kehidupan kita untuk menghadapi masalah yang dilanda pada waktu kecemasan. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah cara-cara menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan menabung?


Langkah yang perdana ialah ibu bapa haruslah menjadi uswah hasanah kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana anak umpama sebuah kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapa sama ada warna-warni atau pudar. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka yang masih berdarah setampuk pinang tentang kepentingan menabung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mempraktikkan amalan menabung dalam kehidupan harian. Contohnya, mereka boleh sentiasa menyimpan wang ke dalam tabung setiap kali mereka pulang dari rumah. Dengan itu, anak yang menjadi cerminan ibu bapa akan mencontohi amalan murni mereka untuk menabung. Tegasnya, sikap bagai ketam mengajar anak mereka berjalan betul oleh ibu bapa untuk mengajar anak mereka menabung haruslah dielakkan.


Selanjutnya, pihak kerajaan patutlah sentiasa menganjurkan kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan amalan menabung. Dalam hal ini, kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak media massa untuk memperhebat kempen tersebut kerana media massa mampu dijadikan sebagai wadah untuk mempengaruhi minda masyarakat. Contohnya, pihak kerajaan perlu menayangkan video yang menerangkan kepentingan amalan menabung dalam kehidupan kita. Kempen sebegini patutlah dianjurkan dari semasa ke semasa dan bukannya bagai melepaskan batuk di tangga. Dengan itu, rakyat akan menyedari kepentingan amalan menabung dan seterusnya mula mempraktikkan amalan tersebut. Tuntasnya, kempen haruslah acap kali dianjurkan untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.


Sementalahan, pihak bank haruslah menawarkan pakej simpanan wang yang menarik kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana pakej tersebut dapat memikat hati rakyat untuk menyimpan wang di bank. Contohnya, pihak bank boleh memberikan pakej yang menawarkan kadar faedah yang tinggi seperti akaun deposit tetap. Akaun deposit tetap yang menawarkan kadar faedah tinggi tentulah akan menarik minat rakyat untuk menyimpan wang ke dalam bank untuk menjana pendapatan pasif yang lumayan daripada faedah bank. Hal ini bukan sahaja dapat menggalakkan masyarakat untuk menabung malahan merancakkan ekonomi negara kita. Hal ini memang bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Dengan itu, rakyat akan berlumba-lumba untuk memohon pakej tersebut. Tegasnya, pakej penyimpanan wang yang menarik akan memikat hati rakyat untuk mengamalkan amalan menabung.


Intihanya, amalan menabung memang banyak mendatangkan faedah kepada kita. Contohnya, wang tabungan dapat kita gunakan untuk menangani masalah pada waktu kecemasan kerana malang tidak berbau. Ingatlah bahawa setiap bangunan yang tersergam megah tidak bergantung pada sebatang tiang sahaja tetapi tiang-tiang dan pasak-pasak yang saling menopang antara satu sama lain kerana bersatu teguh bercerai roboh. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan masyarakat untuk menabung kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Dengan itu, usaha yang dicurahkan tidak akan umpama mencurah air ke daun keladi dalam menggalakkan masyarakat untuk menabung dan negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.



(504 patah perkataan)



Markah - disemak Cikgu OKH
56/70

Ulasan