Cara-cara Anda Memanfaatkan Dron Anda
Populariti robot terbanga atau umumnya dipanggil dron semakin meningkat kerana senang diperoleh di kedai dalam talian. Penggunaan dron juga menjadi kegilaan dalam kalangan remaja untuk mengambil gambar dari sudut jauh.
Ahli keluarga anda telah menghadiahi anda dron baru-baru ini.
Huraikan cara-cara anda memanfaatkan dron anda.
Zaman beralih, musim berubah. Sejajar dengan era yang dilimpahi dengan teknologi maklumat, pelbagai inovasi teknologi moden telah dicipta untuk memenuhi keperluan manusia. Antara teknologi yang dicipta termasuk teknologi dron. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi dron yang dicipta telah memikat hati masyarakat untuk menceburi diri dalam bidang teknologi maklumat. Sesungguhnya, dron merupakan satu robot bersaiz kecil yang boleh terbang dengan alat kawalan jarak jauh. Ramai orang berlumba-lumba untuk membeli dron untuk bermain pada masa lapang. Begitu juga dengan saya. Namun begitu, saya tidak akan menggunakan dron untuk tujuan permainan semata-mata, tetapi akan memanfaatkan dron yang telah saya beli.
Cara pertama saya memanfaatkan dron saya ialah saya akan menggunakan dron untuk membantu petani dalam sektor pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana dron saya mampu meningkatkan produktiviti petani dalam penyemburan baja dan racun serangga. Contohnya, saya boleh memasang penyembur baja di dron saya untuk menyembur baja di kebun petani. Dengan itu, petani tidak perlu bergelumang dalam kebun dan berjemur di bawah sinar matahari yang terik. Pada masa yang sama, saya boleh mempelajari kaedah petani mengusahakan bidang pertanian di samping menimba ilmu pengalaman mengaplikasi ilmu sains dan teknologi moden yang canggih. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Tegasnya, saya akan menawarkan perkhidmatan dron untuk membantu petani untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Selanjutnya, saya akan mengaplikasikan dron dalam kokurikulum saya iaitu kelab fotografi. Hal ini dikatakan demikian kerana dron mampu menangkap gambar di lokasi yang tidak mampu dicapai oleh manusia. Contohnya, saya boleh menangkap gambar seluruh sekolah saya dari sudut pandangan mata burung. Saya turut boleh menangkap gambar panorama yang indah nian dan memuat naik gambar dalam media sosial. Selain itu, saya menggunakan gambar yang ditangkap dengan dron untuk menyertai pertandingan fotografi yang dianjurkan oleh kelab fotografi. Tegasnya, dron mampu membantu saya dalam kelab fotografi saya untuk menangkap gambar yang indah.
Sementalahan, saya akan menggunakan teknologi dron untuk membantu pihak kerajaan dalam pemeliharaan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang remaja yang masih berumur setahun jagung, saya tidak mempunyai kemampuan untuk memasuki hutan yang dipenuhi pepohon dan haiwan liar. Dalam hal ini, saya boleh menggunakan dron saya untuk mengawasi kawasan hutan yang belum diterokai. Sekiranya saya mendapati kawasan hutan yang digondol secara haram, saya akan melaporkan isu tersebut kepada pihak kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Alam Sekitar(JAK). Dengan itu, pembalakan haram akan menjadi kurang dan sekali gus memelihara alam sekitar di Malaysia. Tuntasnya, saya turut memainkan peranan yang dominan dalam pemeliharaan alam sekitar dengan menggunakan dron saya untuk memantau kawasan hutan.
Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa teknologi dron telah banyak mendatangkan faedah kepada manusia. Sayang seribu kali sayang, terdapat satu lakaran suram di sebalik kebaikan teknologi dron, sesetengah pihak yang menyalahgunakan dron untuk melakukan jenayah seperti menggunakan dron untuk mengintai orang lain bermandi. Lantaran itu, kita bertanggungjawab untuk memanfaatkan teknologi dron dengan betul dan berhati-hati supaya dapat mendatangkan faedah kepada manusia. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penyalahgunaan dron. Marilah kita bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memanfaatkan dron dan melahirkan golongan yang celik dalam teknologi supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.
Ulasan
Catat Ulasan