Cadangan-cadangan untuk menangani masalah kemalangan motosikal yang membabitkan golongan muda




Seorang remaja maut dalam kemalangan membabitkan sembilan motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 35.1 Lebuh Raya PlUS arah utara di sini semalam. Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, dalam kejadian kira-kira pukul 10:00 malam itu, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dengan sebuah kereta. Bagaimanapun, motosikal-motosikal tersebut tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram

(Dipetik dan diubah suai daripada "Remaja Maut dalam Kemalangan Sembilan Motosikal", Harian Metro, 29 November 2020)

Petikan di atas menunjukkan bahawa kemalangan yang membabitkan golongan muda yang menunggang motosikal. Manakala, peratus tertinggi kemalangan jalan raya di negara kita membabitkan golongan ini.

Sebagai seorang yang prihatin terhadap masalah ini, anda dikehendaki mencadangkan beberapa tindakan yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini.

Jelaskan cadangan-cadangan tersebut. Panjangnya karangan anda hendaklah antara 350 hingga 500 patah perkataan.


Tema: Kemalangan motosikal
Kunci Soalan: Cadangan-cadangan untuk menangani masalah kemalangan motosikal yang membabitkan golongan muda


Dr HM Iskandar al-Haj pernah berkata, “Hakikatnya banyak negara di dunia ini telah merdeka, tetapi fikiran mereka masih terbelenggu oleh penjara diri.”  Dasawarsa ini, masyarakat acap kali dikejutkan dengan kes kemalangan motosikal yang membabitkan golongan muda yang terpapar di dada akhbar. Kes tersebut semakin bermaharajalela pada saban tahun tanpa titik noktahnya.  Hal ini telah menyayat hati golongan masyarakat kerana golongan muda merupakan aset negara yang bakal menjadi pemimpin negara yang menerajui tonggak pentadbiran negara.  Sesungguhnya, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lumrah yang tidak dapat dituruniPersoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda saya ialah apakah cadangan-cadangan untuk membendung masalah kemalangan motosikal yang membabitkan golongan muda?


Pada pendapat saya, langkah perdana yang boleh dilakukan untuk menangani isu tersebut ialah pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan kemalangan motosikal.  Hal ini dikatakan demikian kerana undang-undang jalan raya di Malaysia masih longgar dan pesalah penunggang motosikal masih mampu membayar hukuman saman yang dikenakan terhadap mereka.  Dalam hal ini, pihak kerajaan wajarlah mengenakan hukuman berat yang setimpal terhadap golongan remaja yang melanggar undang-undang jalan raya.  Contohnya, hukuman saman yang berat terhadap remaja yang melakukan mat rempit ataupun menunggang motosikal walaupun masih bawah umur.  Dengan itu, mereka akan sedar akan kesalahan sendiri dan tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.  Tuntasnya, undang-undang yang ketat akan menyebabkan golongan remaja takut untuk melanggar peraturan trafik semasa menunggang motosikal di jalan raya.


Sementalahan, pihak sekolah patutlah memastikan penerapan elemen keselamatan jalan raya dimasukkan dalam sukatan pelajaran sejak di bangku sekolah lagi.  Hal ini dikatakan demikian kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya, murid-murid yang masih berumur setahun sejagung mudah dipupuk  nilai bertanggungjawab semasa di jalan raya.  Misalnya, guru boleh berkongsi dengan murid-murid tentang peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua orang ketika menunggang motosikal di jalan raya. Seterusnya, guru turut boleh menayangkan video tentang statistik kemalangan motosikal kepada murid.  Dengan itu, hal ini dapat menyedarkan mereka tentang kepentingan mematuhi peraturan ketika menunggang motosikal di jalan raya.  Tegasnya, apabila murid sedar akan peraturan di jalan raya, mereka tidak akan melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan sendiri.

Selanjutnya, ibu bapa turut memainkan peranan yang dominan dalam membendung masalah tersebut.  Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak mereka.  Rentetan dengan itu, ibu bapa patutlah memantau pergerakan anak mereka di luar rumah.  Contohnya, ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu destinasi anak mereka ketika anak mereka keluar dari rumah.  Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah sentiasa mendidik anak mereka untuk memegang prinsip “biar lambat asalkan selamat” serta menampilkan uswah hasanah yang baik di hadapan mereka kerana bapa borek anak rintikSikap bagai ketam mengajar anak berjalan betul haruslah dielakkan oleh ibu bapa.  Dengan itu, anak mereka akan mencontohi ibu bapa untuk menjaga keselamatan diri semasa menunggang motosikal di jalan raya.  Tegasnya, ibu bapa memikul tanggungjawab penting untuk mendidik anak mereka berhati-hati ketika berada dalam jalan raya.


     Intihanya, masalah kemalangan motosikal yang membabitkan golongan remaja haruslah dikekangkan hingga ke akar umbinya. Hal ini dikatakan demikian kerana “pemuda bangsa negara, pemudi tiang negara”. Lantaran itu, semua pihak haruslah menjangkau sehabis tangan bagai aur dengan tebing untuk membendung masalah tersebut kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Ingatlah pesanan daripada William Skakespeare, “Jangan hentikan usaha yang mulia selagi hasilnya belum dikecapi”. Semua usaha murni yang drastik dan pragmatik harus diimplementasikan supaya langkah untuk membendung masalah tersebut tidak akan umpama mencurah air ke daun keladi. Dengan itu, negara kita akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. 



(505 patah perkataan)



Markah - disemak Cikgu TLC

64/70

Ulasan